HomeSukanPenyertaan APP Next perlu dimanfaatkan – Joachim

Penyertaan APP Next perlu dimanfaatkan – Joachim

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyatakan sokongan penuh terhadap penyertaan Dinkers Point Pickleball Club (DPPC) dalam kejohanan APP Next Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan sukan pickleball di Sabah.

Sokongan tersebut dizahirkan semasa kunjungan hormat DPPC yang diketuai Presidennya, Mohd Noh Adzlie, sebagai usaha memperkenalkan kelab berkenaan secara rasmi serta berkongsi visi dan komitmen dalam pembangunan sukan pickleball, khususnya melibatkan golongan belia.

Dalam pertemuan itu, Dr. Joachim merakamkan penghargaan terhadap inisiatif dan semangat yang ditunjukkan oleh DPPC dalam membangunkan bakat baharu melalui sukan pickleball yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Beliau menyifatkan penyertaan dalam kejohanan APP Next Kuala Lumpur sebagai satu platform penting bagi memberi pendedahan serta pengalaman berharga kepada para pemain di peringkat kebangsaan, selain membuka peluang yang lebih luas untuk pembangunan kerjaya sukan pada masa hadapan.

Selain itu, Dr. Joachim turut menasihatkan para pemain DPPC agar memanfaatkan sepenuhnya peluang menyertai kejohanan bertaraf nasional tersebut memandangkan pengalaman sebegini amat bernilai dalam pembentukan jati diri, disiplin serta keyakinan diri sebagai seorang atlet.

Sementara itu, Mohd Noh Adzlie berkata, kunjungan hormat berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkenalkan DPPC secara rasmi, malah mencerminkan keyakinan kelab terhadap peranan sukan sebagai medium pembangunan belia, pengukuhan komuniti serta pembudayaan gaya hidup sihat di Sabah.

“DPPC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan galakan yang diberikan dan beriltizam untuk membawa nama Sabah dengan penuh kebanggaan di pentas kebangsaan melalui sukan pickleball,” katanya.

Beliau berharap sokongan berterusan daripada kepimpinan negeri dapat membantu memperkasa lagi pembangunan sukan pickleball serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi dari Sabah.

RELATED ARTICLES
Sukan

Chris Ondong pilih Sabah FC demi cabaran baharu di Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular