SANDAKAN: Kesedaran terhadap kualiti dan tahap kebersihan dalam penyediaan makanan perlu diberi perhatian serius, khususnya kepada bakal peniaga yang akan berniaga sepanjang bulan Ramadan.
Perkara itu ditegaskan oleh isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Merdiline Albaris ketika merasmikan Kursus Latihan Pengendali Makanan melibatkan 100 wanita peniaga dan penjaja Ramadan di Sungai Manila, baru-baru ini.
Menurut beliau, keenakan sesuatu makanan bukan sahaja bergantung kepada rasa semata-mata, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti makanan yang dihasilkan.

“Kualiti sesuatu makanan merupakan pelengkap kepada rasa makanan yang dihidangkan. Makanan yang berkualiti itu penting dan sewajarnya diutamakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kualiti makanan akan meningkatkan daya tarikan terhadap sesuatu hidangan, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna.
Bagaimanapun katanya, aspek kualiti tidak hanya tertumpu kepada kebersihan premis atau gerai makanan semata-mata, malah turut melibatkan pemilihan bahan mentah yang digunakan.
“Premis atau gerai makanan sememangnya menarik jika bersih, namun ia akan bertambah nilai dan ‘seri’ sekiranya makanan yang dihasilkan juga berkualiti,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Merdiline berharap para peserta kursus dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan pendedahan yang diperoleh bagi menghasilkan makanan yang berkualiti serta selamat untuk pengguna.
“Saya yakin pengetahuan yang diperoleh melalui kursus ini amat berguna kepada semua peserta,” katanya.
Untuk rekod, Kursus Latihan Pengendali Makanan anjuran FB Training Academy itu telah berjaya dilaksanakan selama dua hari, iaitu pada 7 dan 8 Februari 2026, dengan penyertaan seramai 100 orang peserta.
Program tersebut dijalankan secara bersiri, di mana Siri Pertama berlangsung pada 7 Februari 2026 melibatkan dua sesi iaitu sesi pagi (25 peserta) dan sesi petang (25 peserta).
Siri Kedua pula diteruskan pada 8 Februari 2026 dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta.
Program berkenaan berlangsung dengan lancar hasil kerjasama Persatuan Senilis Sandakan, semua pihak terlibat serta komitmen tinggi daripada para peserta.



