HomeUtamaKPDN Labuan perketat pemantauan menjelang perayaan, peniaga runcit dikompaun

KPDN Labuan perketat pemantauan menjelang perayaan, peniaga runcit dikompaun

Read Time:1 Minute, 25 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan terus memperketat pemantauan pasaran menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2026 bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil serta hak pengguna sentiasa terpelihara.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata pemeriksaan yang dilaksanakan di sekitar kawasan luar bandar Labuan pada Selasa merupakan sebahagian daripada gerakan penguatkuasaan berterusan sempena musim perayaan.

Menurut beliau, langkah proaktif itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang perdagangan berada pada tahap optimum serta mengekang sebarang bentuk ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna.

“Dalam pemeriksaan tersebut, seorang peniaga runcit telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Tindakan diambil selepas pasukan pemeriksaan mendapati peniaga berkenaan gagal meletakkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk tujuan perdagangan, satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020,” katanya.

Tambahnya lagi, kegagalan mempamerkan tanda harga boleh mengelirukan pengguna serta membuka ruang kepada amalan pencatutan dan ketidakadilan dalam urus niaga. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati peniaga berkenaan mengakui kesalahan dan kompaun telah dikeluarkan di lokasi pemeriksaan.

Di bawah Akta 723, peniaga yang gagal mematuhi peruntukan penandaan harga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi individu atau RM100,000 bagi syarikat, atau dikompaun mengikut peruntukan yang dibenarkan.

“KPDN Labuan akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan semua peniaga mematuhi perundangan yang berkuat kuasa dan pengguna dapat membuat pembelian dalam suasana yang telus serta berinformasi,” katanya.

Beliau mengingatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan penandaan harga dengan jelas dan tepat bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

“Pengguna juga perlu peka terhadap hak mereka dan melaporkan sebarang salah laku peniaga kepada pihak KPDN melalui saluran aduan yang disediakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sembilan sekolah di Beaufort ditutup akibat banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular