KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, Pusat Kawalan Polis menerima maklumat awal mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 pagi tadi (12 Feb).
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai berkenaan. Kesemua bahagian yang dijumpai dipercayai milik mangsa yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, identiti mangsa setakat ini masih belum dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesahkan identiti serta mengesan waris terdekat.
Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) serta Unit Anjing Pengesan (K9) turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh berkenaan dibuang di kawasan tersebut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE I dan bedah siasat dijadualkan dijalankan jam 8.30 pagi, 13 Februari 2026 bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Syed Lot menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Rahman di talian 012-310 6882 atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222. Semua maklumat akan dirahsiakan.
“PDRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.



