KOTA KINABALU: Seramai 4,348 orang mangsa melibatkan 1,774 keluarga yang terjejas banjir ditiga daerah di Sabah berlindung di 32 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang diaktifkan setakat jam 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, tiga daerah yang masih terjejas adalah di Pitas; Paitan dan Tawau.
Pitas merupakan daerah tertinggi yang merekodkan jumlah mangsa seramai 2,618 orang melibatkan 1,276 keluarga.
Di Paitan, seramai 1,485 orang mangsa yang terjejas melibatkan 443 keluarga masih berlindung di PPS yang diaktifkan.
Manakala di Tawau, seramai 245 orang melibatkan 55 keluarga dilaporkan masih berlindung di PPS Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.



