HomeUtamaSabah Kaji Semula Keperluan Pemeriksaan Imigresen Di Pintu Masuk Dari Labuan

Sabah Kaji Semula Keperluan Pemeriksaan Imigresen Di Pintu Masuk Dari Labuan

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengkaji semula sama ada perlu atau tidak untuk melaksanakan pemeriksaan Imigresen di pintu masuk Sabah bagi mereka yang datang dari Labuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau akan mendapatkan laporan terlebih dahulu dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berhubung perkara itu.

“Mungkin amalan sehingga sekarang ini begitulah kerana apabila mereka sampai dari Semenanjung atau lain tempat mereka akan diperiksa oleh pihak Imigresen di Labuan tetapi dari Labuan datang ke Sabah ada sedikit persoalan kenapa tidak diperiksa di sini.

“Perkara ini kita akan lihat secara menyeluruh rasional yang berlaku kerana selama ini amalannya memang seperti itu tetapi ada permintaan daripada rakyat kita supaya mereka yang datang ke Sabah juga diperiksa oleh Imigresen di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sesi taklimat mengenai Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah, di Mini Auditorium, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, disini hari ini.

Ketika ini Hajiji berkata, pemeriksaan Imigresen hanya dilaksanakan terhadap individu memasuki Labuan dari Semenanjung atau tempat lain tetapi tiada pemeriksaan apabila mereka memasuki Sabah.

“Justeru itu, kita akan kaji perkara ini, kalau ianya perlu dilaksanakan atau tidak, nanti kita akan dapatkan laporan daripada pihak Imigresen negeri,” katanya.

Beliau diminta mengulas rungutan pelbagai pihak mengenai ketiadaan pemeriksaan Imigresen di pintu masuk dari Labuan seperti di Menumbok menyebabkan tiada rekod kemasukan individu khususnya warga asing yang datang dari Labuan.

Ekoran itu, pelbagai pihak menyuarakan agar pemeriksaan Imigresen dilaksanakan di semua pintu masuk dari Labuan, termasuk di Menumbok.

Ini bagi memastikan tiada lagi warga asing mengambil kesempatan terhadap kelompongan yang berlaku bagi mengelak dikesan pihak berkuasa apabila berada melebihi tempoh dibenarkan di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Kiulu wujud Tabung Keusahawanan & Kepimpinan Belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular