KOTA KINABALU: Sabah FC menyasarkan untuk menamatkan kemarau trofi selepas berjaya melangkah ke dua perlawanan akhir dalam satu musim bagi kempen 2025–2026.
Pengurus pasukan, Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, kejayaan mara ke final Piala FA dan Piala Cabaran membuktikan prestasi pasukan semakin meningkat serta mampu bersaing di peringkat tertinggi walaupun sebelum ini berdepan pelbagai kekangan.
Beliau berkata, peluang yang diraih itu tidak mahu disia-siakan dan berharap semua pemain berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan akhir Piala Cabaran.
“Pencapaian ini memberi suntikan semangat kepada pasukan kerana sudah lama Sabah FC tidak menjulang trofi utama,” katanya.
Beliau berkata, kali terakhir Sabah FC menjulang Piala FA ialah pada 1995 sebelum kembali meraih kejayaan apabila muncul juara Liga Premier Malaysia pada 2019.
Dalam pada itu, Arziz turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan barisan pemain sedia ada untuk menghadapi baki saingan Liga Super Malaysia selain memberi fokus penuh kepada misi melangkah lebih jauh dalam Piala Cabaran musim 2025–2026.
Katanya, sasaran utama pasukan ketika ini adalah memperbaiki kedudukan dalam baki saingan Liga Super sambil memastikan Sabah FC mampu memberikan cabaran terbaik dalam perlawanan akhir yang bakal dihadapi.



