PUTATAN: Penggunaan peralatan cerapan yang dinaik taraf menjadi antara fokus utama dalam pelaksanaan rukyah hilal bagi menentukan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata walaupun prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah cerapan dikekalkan, penambahbaikan teknologi membantu meningkatkan ketepatan dan keberkesanan proses berkenaan.
“Proses cerapan atau rukyah hilal dijadualkan bermula sekitar pukul 6:27 petang, iaitu hampir dengan waktu Maghrib, dengan tempoh cerapan dianggarkan selama kira-kira 13 minit.
“Keputusan cerapan yang dilaksanakan akan menentukan sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Ramadan digenapkan kepada 30 hari,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rukyah Hilal Syawal 1447H/2026M di Balai Cerap Al-Biruni, di sini pada Khamis.
Menurutnya, penggunaan peralatan lebih moden membolehkan cerapan dilakukan dengan lebih jelas yang menyokong penentuan awal bulan Islam secara lebih tepat.
Sebelum proses cerapan dijalankan, majlis tahlil ringkas turut diadakan bagi memohon kelancaran.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih; serta Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.



