KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang atas sabitan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dilaporkan telah dilepaskan dua minggu lalu.
Perkara itu disahkan oleh Unit Komunikasi Korporat Jabatan Penjara Malaysia
“Beliau telah diberikan pelepasan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) kata pegawai dari unit komunikasi Korperat Jabatan Penjara Malaysia ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Pada 26 Mei 2022, Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu berkaitan kontrak penyelenggaraan sistem di UMS.
Sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Sdn Bhd ketika itu, beliau didakwa memalsukan surat daripada pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan kenyataan palsu bagi tujuan mengelirukan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014.
Pada 20 Ogos 2025, usaha terakhirnya untuk membatalkan sabitan gagal selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadapnya.
Beliau kemudian memfailkan permohonan semakan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Peter memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada 2018 dan 2020 di bawah Parti WARISAN sebelum menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat pada 2022.



