HomeUtamaPermohonan tangguh perintah Mahkamah berhubung bayaran 40% diputuskan 6 April

Permohonan tangguh perintah Mahkamah berhubung bayaran 40% diputuskan 6 April

Read Time:4 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusannya pada 6 April berhubung permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah berhubung isu tuntutan 40 peratus Sabah.

Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata Mahkamah Rayuan hari ini selesai mendengar permohonan tersebut yang dijalankan melalui dalam talian.

“Panel telah menetapkan 6 April 2026 untuk penyampaian keputusan. Permohonan ini berkaitan sama ada perintah Mahkamah Tinggi, termasuk tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah, kekal berkuat kuasa sementara menunggu pelupusan rayuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Nazim berkata SLS akan meneliti keputusan Mahkamah Rayuan sebaik sahaja ia disampaikan.

“Sementara itu, persatuan kekal berpandukan kepada arahan mahkamah,” tambahnya.

Memetik laporan The Edge Malaysia, panel tiga hakim dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama Datuk Ismail Brahim dan K Muniandy, sebulat suara bersetuju untuk meneliti perkara ini dengan lebih mendalam supaya dapat “mengulas isu-isu” dalam permohonan tersebut dan menyampaikan keputusan pada Isnin nanti.

Peguam Persekutuan Kanan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, mewakili Kerajaan Persekutuan yang merupakan perayu dalam perkara ini, memberitahu panel bahawa kerajaan tidak mempersoalkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri, mahupun kewajipan untuk mengadakan semakan; sebaliknya ia memohon penangguhan bagi menyelesaikan mekanisme pengiraan semakan tersebut.

“Ini memerlukan pendekatan yang realistik tentang bagaimana perintah yang telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk membuat semakan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan, dan mekanisme pengiraannya disusun.

“Semakan juga perlu mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021 seperti yang ditetapkan. Perkara ini melibatkan dokumen dan pengiraan yang banyak oleh Kementerian Kewangan, dan disebabkan itu, kami tidak dapat mematuhi tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi,” lapor portal berkenaan.

Ahmad Hanir, bersama peguam persekutuan Saffiyah Omar, Mohammad Solehheen Mohammad Zaki dan Nur Atirah Aiman Rahim, dalam permohonan penangguhan yang dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA), berhujah bahawa jika permohonan penangguhan tidak diberi, rayuan Kerajaan Persekutuan akan menjadi sia-sia.

Beliau berkata kerajaan memohon penangguhan selama kira-kira enam bulan sehingga rayuan dapat didengar pada Oktober, sekiranya semua pihak bersetuju.

Ahmad Hanir berkata Kerajaan Persekutuan menghadapi masalah dengan perintah Mahkamah Tinggi KK yang menetapkan persetujuan mesti dicapai dalam tempoh 180 hari dengan Kerajaan Negeri Sabah berhubung proses semakan yang sedang dijalankan.

Beliau menambah terdapat perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, untuk melaksanakan hak Sabah sebanyak 40% di bawah Perkara 112C Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021, dalam 90 hari selepas mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah.

“Ini bermakna selepas 180 hari, Kerajaan Persekutuan dikehendaki membayar Sabah dalam tempoh 90 hari, sedangkan kaedah pengiraan masih belum dimuktamadkan,” tambahnya.

SLS, diwakili Dr David Fung Yin Kee bersama Jeyan TM Marimuttu, Janice Junie Lim dan Grace Liew Yung Enn, menentang penangguhan yang dimohon Kerajaan Persekutuan, dengan hujah bahawa permohonan itu sepatutnya dibuat di Mahkamah Tinggi KK terlebih dahulu.

Fung berkata walaupun mereka bukan pihak dalam rundingan semasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, empat mesyuarat telah diadakan sejak keputusan mahkamah, dan Kerajaan Persekutuan salah untuk memohon di bawah Seksyen 44 CJA tanpa terlebih dahulu memohon penangguhan di Mahkamah Tinggi kerana masih ada masa sehingga 15 April.

Menurut Fung SLS telah memohon semakan dijalankan dalam 90 hari, dan hakim sendiri telah melanjutkan tempoh itu kepada 180 hari tanpa sebarang permohonan daripada kami.

“Jika Kerajaan Persekutuan mahu melanjutkan tempoh, ia harus dilakukan di Mahkamah Tinggi, bukan di sini,” kata Fung.

Menegaskan perkara sama, Peguam Negara Sabah Datuk Brenndon Keith Soh, yang hadir bersama peguam kanan Sabah Mohd Saifurrazee Mohamed dan Calvin Joy Ensui, turut menentang permohonan penangguhan itu.

Mereka menegaskan Kerajaan Persekutuan sepatutnya memohon di Mahkamah Tinggi KK, dan jika penangguhan tidak diberi, ia tidak menjadikan rayuan Kerajaan Persekutuan sia-sia.

Brenndon merujuk kes yang membolehkan Kerajaan Persekutuan memohon lanjutan masa jika perlu selepas tamat tempoh, dan permohonan itu harus dibuat di Mahkamah Tinggi dan bukan mahkamah rayuan.

“Oleh kerana mereka tidak mempersoalkan semakan dijalankan, permohonan penangguhan tidak perlu kerana mesyuarat untuk mencapai persetujuan sedang dijalankan,” katanya.

Pada Februari tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah memfailkan permohonan penangguhan, dengan menamakan SLS sebagai responden pertama dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai responden kedua.

Dalam permohonan mereka, pemohon antara lain, meminta agar perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 kecuali bagi perenggan 2(b), ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Pemohon juga meminta agar tiada perintah dikenakan kos, serta apa-apa lagi ganti rugi atau perintah lain yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah.

Pada 17 Oktober tahun lalu, SLS berjaya dalam semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi di sini untuk Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula bersama Kerajaan negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus daripada hasil bersih Sabah dari tahun 1974 hingga 2021.

“Semakan tersebut hendaklah dijalankan bagi setiap tahun kewangan berturut-turut (consecutive financial year) dari tahun 1974 hingga tahun 2021, dalam tempoh 90 hari dari tarikh perintah ini dikeluarkan, dan persetujuan antara kedua-dua kerajaan hendaklah dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah ini,” kata hakim Datuk Celestina Stuel Galid.

SLS memfailkan semakan kehakiman pada 2022 dan menamakan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai responden pertama dan kedua masing-masing dalam semakan kehakiman tersebut.

SLS, antara lain, mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan gagal mengadakan semakan hasil wajib setiap lima tahun sejak 1974.

LINK BERITA KEPUTUSAN PENUH MAHKAMAH TINGGI:
https://sabahmedia.com/2025/11/07/keputusan-penuh-mahkamah-tinggi-mengenai-semakan-40-hak-sabah/

RELATED ARTICLES
Utama

Menteri KWKKR tinjau HQE II, tekankan peningkatan perkhidmatan kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular