HomeUtamaPapar mampu jadi destinasi persinggahan utama - Masidi

Papar mampu jadi destinasi persinggahan utama – Masidi

Read Time:1 Minute, 22 Second

PAPAR: Papar mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai lokasi persinggahan utama bagi pelawat dan pengguna jalan raya khususnya dari negara Brunei Darussalam dan negeri Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia apabila projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya selain pembangunan Bandar Benoni (Benoni Commercial Centre) dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata, kedudukan strategik Papar yang terletak di laluan utama lebuh raya berkenaan menjadikannya antara kawasan yang berpotensi tinggi untuk menerima kunjungan pelawat dari luar, termasuk pelancong dan peniaga rentas sempadan.

“Apabila Pan Borneo siap sepenuhnya kelak, pengguna jalan raya hanya akan mengambil masa yang lebih singkat untuk ke Kota Kinabalu.

“Perancangan rapi serta pelaksanaan pembangunan yang tersusun adalah penting bagi memastikan Papar bukan sahaja menjadi tempat persinggahan, malah berkembang sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Famous Salim Nasi Kandar, Bandar Benoni, di sini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan ini bukan sahaja akan meningkatkan keterhubungan antara daerah, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan melalui aktiviti perniagaan, perkhidmatan dan pelancongan.

“Dengan kesiapsiagaan infrastruktur serta penambahbaikan kemudahan asas, Papar mampu menawarkan pelbagai fasiliti seperti tempat rehat, pusat komersial, serta produk pelancongan tempatan yang menarik,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan fasiliti baharu termasuk kemudahan awam, kawasan komersial dan inisiatif pelancongan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat.

Masidi menyeru para peniaga tempatan, khususnya golongan Bumiputera, agar sentiasa berhemah dan berdisiplin dalam mengurus kewangan perniagaan.

“Kepentingan menyimpan modal serta membuat caruman untuk pelaburan semula dalam perniagaan sebagai langkah memperkukuh kedudukan ekonomi dan menjana pendapatan yang lebih lumayan pada masa hadapan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Penangguhan beri kesan kepada perancangan pembangunan negeri – Azrul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular