TUARAN,— Pertandingan Penjaja Lestari Pasar Tuaran berlangsung di Pasar Komuniti di sini baru baru ini, sebagai sebahagian usaha menggalakkan pengurangan penggunaan plastik dalam kalangan penjaja tempatan.
Program anjuran Zero Waste Sabah dengan kerjasama Persatuan Penjaja Lestari Pasar Tuaran itu turut mendapat sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia.
Pertandingan berkenaan merupakan antara inisiatif di bawah Projek Pengurangan Plastik yang dilaksanakan sejak 2023, melibatkan seramai 210 penjaja yang telah menerima latihan berkaitan pengurusan sisa mampan dan amalan penggunaan secara bertanggungjawab.
Pengasas Zero Waste Sabah, Ruth Yap berkata inisiatif itu tercetus selepas pihaknya mendapati penggunaan beg plastik yang tinggi dalam kalangan penjaja, dengan kos pembelian mencecah sehingga RM300 seminggu bagi sesetengah peniaga.
Beliau berkata tinjauan projek pengurusan sisa di Kampung Gerinsing awal tahun ini turut mendapati kebanyakan beg plastik dibuang di tepi jalan dan longkang, selain dibakar atau dilupuskan di kawasan paya bakau.
“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah meningkatkan kos dan tenaga yang perlu ditanggung kerajaan bagi kerja pembersihan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap program seperti ini dapat mencetuskan perbincangan mengenai keperluan pendidikan dan dasar yang mampu menggalakkan masyarakat menangani isu sisa dari peringkat awal.
Pertandingan itu disertai lapan kumpulan penjaja yang dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk penggunaan pembungkusan mesra alam, kreativiti jualan tanpa plastik, amalan guna semula dan kitar semula, usaha meningkatkan kesedaran pelanggan serta tahap kebersihan gerai.
Tiga kumpulan dipilih sebagai pemenang dan menerima hadiah wang tunai.
Sementara itu, Pengurus Kanan (Alam Sekitar) Yayasan Hasanah, Aaina Karina yang turut menjadi juri berkata kejayaan program berkenaan didorong sokongan kepimpinan tempatan dan agensi kerajaan.
“Kerjasama erat antara pihak berkuasa dan komuniti adalah faktor penting dalam menangani cabaran kelestarian,” katanya.
Dalam paa itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Lestari Pasar Tuaran, Irene Sompun berkata pada peringkat awal, penjaja berdepan cabaran untuk mengubah amalan penggunaan plastik dalam perniagaan harian.
“Namun melalui latihan dan pendedahan berterusan, semakin ramai penjaja kini lebih peka terhadap kepentingan menjaga alam sekitar serta mula mengamalkan alternatif lebih lestari,” katanya.
Ruth berkata program itu turut membuktikan bahawa inisiatif pengurangan plastik mampu mencungkil kreativiti tempatan termasuk penggunaan bahan semula jadi dan anyaman sebagai alternatif.
Walaupun berskala kecil, beliau berkata ia merupakan permulaan penting dan berharap program seumpama itu dapat diperluaskan secara berkala bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan pembelian bertanggungjawab.
Turut hadir, Yunus Idris yang mewakili Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Haji Murneh Lamsari, Aradin Ading dan Masneh Abd Ghani.



