Laporan Eksklusif
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kejayaan kumpulan ‘Search and Rescue High Altitude Team’ (SARHAT) Taman-Taman Sabah (TTS) menamatkan ekspedisi ke Everest Base Camp (EBC) menjadi titik permulaan kepada sasaran lebih besar iaitu misi pendakian bertaraf dunia menjelang tahun 2028.
Timbalan Pengarah (Operasi, Penswastaan dan Pembangunan) TTS Maipol Spait berkata, ekspedisi itu merupakan sebahagian daripada usaha menguji keupayaan fizikal, mental serta kesiapsiagaan operasi menyelamat di altitud tinggi.

Beliau berkata, ia juga adalah selaras dengan penubuhan pusat latihan pendakian altitud tinggi di Gunung Kinabalu pada 2024.
Maipol yang juga ketua ekspedisi berkata, pengalaman di EBC memberi gambaran sebenar mengenai cabaran ekstrem yang perlu ditempuhi sebelum melangkah ke misi lebih besar.
“Ini adalah latihan penting untuk kami. Sasaran seterusnya ialah memperkukuh keupayaan pasukan sebelum melaksanakan misi lebih besar pada 2028.
“Misi itu juga bertujuan memastikan pasukan SARHAT mampu mencapai standard antarabangsa, khususnya dalam operasi menyelamat di kawasan gunung tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Penghargaan 2025 Lembaga Pemegang Amanah TTS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin.

Maipol berkata, penanda aras utama adalah keupayaan pasukan penyelamat di Nepal yang berpengalaman luas dalam operasi di Gunung Everest.
“Sebagai penjaga gunung, kami perlu ada pengalaman dan kelayakan dalam SAR altitud tinggi supaya setanding dengan pasukan terbaik dunia,” katanya.
Sementara itu, Maipol berkata, meskipun kejayaan ke EBC membanggakan, beberapa cabaran utama masih perlu diatasi sebelum misi 2028 dapat direalisasikan.
Beliau berkata, antara cabaran itu termasuklah keperluan latihan intensif dan berterusan selain ketahanan menghadapi cuaca ekstrem sehingga -21°C serta kos tinggi bagi peralatan dan logistik .
“Cabaran terbesar adalah kewangan dan latihan mencukupi. Pendakian altitud tinggi memerlukan persediaan yang sangat rapi,” katanya.
Pasukan itu kini mula merangka pelan latihan jangka panjang termasuk ekspedisi lanjutan sebagai persediaan ke arah 2028.
Penilaian menyeluruh akan dibuat bagi memastikan setiap anggota benar-benar bersedia dari segi fizikal, mental dan teknikal sebelum menyertai misi lebih besar. – SABAH MEDIA



