HomeUtamaInkues Zara: Telefon dianalisis, sebahagian data dipadam masih boleh diekstrak

Inkues Zara: Telefon dianalisis, sebahagian data dipadam masih boleh diekstrak

Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa daripada 15 telefon bimbit yang dianalisis dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, terdapat beberapa peranti mengandungi maklumat yang telah dipadam.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, ASP Mohd Zaidi Abu Hassan, 44, berkata hasil analisis mendapati sebahagian maklumat yang telah dipadam masih dapat diekstrak menggunakan perisian XRY, namun terdapat juga data tertentu yang tidak dapat dipulihkan.

Mohd Zaidi yang mempunyai kira-kira 19 tahun pengalaman berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali, Timbalan Pendakwa Raya, Sofea S Sawayan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

“Mengikut perisian XRY ini, ada telefon bimbit yang dapat kita keluarkan data yang telah dipadam dan ada jenis telefon bimbit yang kita tidak dapat keluarkan data.

“Bagi kes ini, saya dapat mengeluarkan data yang dipadam daripada telefon bimbit jenama iPhone, tetapi untuk telefon bimbit Android, saya tidak dapat keluarkan data yang telah dipadam,” katanya.

Tambahnya, untuk data yang telah dipadam, beliau tidak memfokuskan mana-mana maklumat.

“Saya hanya keluarkan apa yang perisian XRY dapat keluarkan sama ada sudah dipadam ataupun belum dipadam,” katanya.

Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, Mohd Zaidi berkata sebanyak 15 buah telefon bimbit berserta kad SIM diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Komputer bagi tujuan analisis.

Beliau menjalankan analisis terhadap barang kes dengan menggunakan peralatan XRY untuk telefon bimbit.

Tiga daripada 15 telefon bimbit tersebut mengalami kerosakan kerana tidak dapat dihidupkan selain skrin pecah.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan pagi di Hospital Queen Elizabeth.

Prosiding inkues bersambung esok.

RELATED ARTICLES
Utama

Lahad Datu lokasi strategik tapak pelancaran roket, satelit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular