LAHAD DATU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan dakwaan kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik kini menjadi milik Indonesia.
Menurutnya, laporan itu tidak tepat dan tidak mencerminkan hasil sebenar rundingan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
“Itu tidak betul… siapa yang cakap diserahkan? Media Indonesia? Itu tidak betul.
“Kita yang (sebenarnya) untung tetapi saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pak Prabowo Subianto tidak boleh buat kenyataan… itu saya boleh cakap,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, di sini, hari ini.
Terdahulu, media Indonesia melaporkan Ketua Staf Presiden (KSP), M Qodari, mendakwa kawasan berkenaan kini sah menjadi milik Indonesia hasil rundingan sempadan darat kedua-dua negara.
Bagaimanapun, laporan itu turut menyebut sebahagian kecil kawasan Indonesia seluas 4.9 hektar kini termasuk dalam wilayah Malaysia.



