HomeUtamaAutism Fun Run tarik lebih 400 peserta, sokong inisiatif bilik sensori

Autism Fun Run tarik lebih 400 peserta, sokong inisiatif bilik sensori

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Program Autism Fun Run 2026 yang diadakan buat julung kali di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ahad lalu, berjaya menarik lebih 400 peserta.

Sambutan menggalakkan itu mencerminkan sokongan padu masyarakat dalam meningkatkan kesedaran terhadap autisme serta memperkukuh penglibatan komuniti dalam usaha kebajikan.

Program itu melibatkan 83 peserta Orang Kurang Upaya (OKU), 100 pengiring serta 60 sukarelawan termasuk 37 pendaftaran secara terus, menunjukkan penglibatan aktif keluarga, komuniti dan kumpulan sokongan.

Acara berkenaan dianjurkan bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Pusat Autisme Sabah (PAUS) serta Lembaga Pelawat Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sembulan dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia.

Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki yang menyempurnakan pelepasan larian berkata, program itu turut bertujuan mengumpul dana bagi melengkapkan sebuah bilik sensori di PAUS.

Katanya, kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 65 kanak-kanak di bawah seliaan pusat itu.

“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan penyertaan komuniti secara bermakna, malah menyokong usaha pengumpulan dana bagi menyediakan kemudahan yang dapat meningkatkan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak autisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bilik sensori itu direka sebagai ruang terapi bagi merangsang atau menenangkan deria seperti penglihatan, sentuhan dan pendengaran, sekali gus membantu kanak-kanak autisme meningkatkan fokus serta mengawal emosi.

Antara peralatan yang akan disediakan termasuk ‘bubble tube’, panel dinding bertekstur, sistem pencahayaan fiber optik serta peralatan integrasi sensori seperti buaian dan permainan lembut.

Selain larian, program turut diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk saringan kesihatan, ceramah kesedaran serta aktiviti interaktif berasaskan rangsangan sensori.

Julita berkata, program seumpama itu penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai autisme, khususnya dalam kalangan keluarga yang mempunyai akses terhad kepada maklumat dan perkhidmatan sokongan terutama di kawasan luar bandar.

Menurutnya, berdasarkan statistik JPKA, terdapat kira-kira 7,057 kanak-kanak autisme di Sabah, namun hanya 18 pusat pendidikan khas dan kemudahan berkaitan tersedia ketika ini.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh akses kepada intervensi awal serta memperluaskan kemudahan dan pusat autisme di negeri ini.

“Seiring peningkatan jumlah kanak-kanak dikenal pasti dengan autisme, adalah penting untuk memastikan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan sokongan terus diperkukuh.

“Usaha ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak agar tiada kanak-kanak tercicir daripada mendapat penjagaan, pendidikan dan sokongan sewajarnya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kimanis catat IPU tidak sihat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular