NABAWAN: Isu berlarutan hampir enam dekad membabitkan skim penempatan tanah di Nabawan kini diberi perhatian serius apabila satu jawatankuasa pembangunan diaktifkan semula bagi mempercepat penyelesaian berkaitan pemilikan, pembangunan dan hak penduduk.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dibuat dalam sesi dialog bersama penduduk di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, pada Selasa.
Beliau berkata, skim berkenaan telah wujud kira-kira 58 tahun lalu dan digazetkan seawal 1958, namun pelbagai isu masih belum diselesaikan sehingga kini.
“Susulan soalan lisan ADUN Nabawan pada sidang DUN lalu, kawasan ini perlu diberi perhatian termasuk menunaikan janji berkaitan pemberian geran tanah,” katanya.
Menurutnya, hasil dialog mendapati banyak perkara perlu diselesaikan khususnya berkaitan pemilikan tanah, pembangunan kawasan serta hak penduduk yang berpindah sejak 1960-an tetapi belum ditunaikan sepenuhnya.
Jamawi berkata, kawasan itu sebelum ini diamanahkan kepada kementeriannya untuk dibangunkan di bawah Lembaga Padi Negeri Sabah, namun pelaksanaannya memerlukan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh.
“Saya datang untuk mendengar sendiri keluhan dan cadangan masyarakat supaya kementerian dapat membantu dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa pembangunan skim Nabawan yang telah lama ditubuhkan kini diaktifkan semula dan dipengerusikan Pegawai Daerah dengan penyelarasan bersama ADUN Nabawan.
Katanya, jawatankuasa itu akan mengumpul cadangan serta memorandum sebelum diperhalusi dan dikemukakan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.
“Tindakan susulan akan diambil bagi memastikan hak penduduk dapat dipenuhi selepas penilaian di peringkat daerah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian terhadap tanah yang telah digazetkan tetapi masih belum dibangunkan termasuk kawasan dikenal pasti sebagai tanah KPD dan kategori lain.
Menurutnya, pembangunan tanah itu bukan sahaja meningkatkan ekonomi setempat, malah membuka peluang pekerjaan kepada generasi kedua, ketiga dan keempat penduduk.
Jamawi berkata, usaha itu selari dengan hasrat wakil rakyat serta pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau menjelaskan kementerian memberi fokus kepada keterjaminan makanan bagi mengurangkan kebergantungan import.
Katanya, antara komoditi diberi tumpuan ialah pengeluaran beras, padi dan jagung yang masih mencatat kadar sara diri rendah.
“Sebagai contoh, tahap sara diri jagung ketika ini hanya sekitar dua peratus, jadi kita memerlukan lebih banyak kawasan tanah untuk dibangunkan,” katanya.
Beliau yakin Nabawan mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian berskala besar yang mampu menyumbang kepada bekalan makanan negeri.
Tambahnya, kementerian turut memperoleh peruntukan bagi melaksanakan pembangunan pertanian secara mekanisasi menggunakan teknologi moden.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos pengeluaran, malah mampu menarik minat golongan muda menceburi sektor pertanian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara kementerian, kepimpinan tempatan dan masyarakat dapat merealisasikan pembangunan lebih teratur serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Turut hadir, ADUN Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Jumain Abdul Ghani, mantan ADUN Nabawan Senator Datuk Bobbey Suan, Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Ts. Jifrin Mohamad serta pegawai Jabatan Tanah dan Ukur.
Dalam program berasingan, Jamawi turut menghadiri taklimat berkaitan isu jalan dan pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Daerah Tenom yang diadakan di Pejabat Daerah Tenom.



