PAPAR: Tahap pematuhan peniaga di sekitar Pekan Papar didapati memberangsangkan hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Papar pada Rabu.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dilaksanakan oleh sepasukan empat pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Papar menerusi Ops Tiris 4.0 di sekitar kawasan berkenaan.
Operasi itu turut melibatkan pemeriksaan harga maksimum minyak masak sawit tulen botol, pematuhan penetapan harga maksimum telur ayam (PHMTA) serta keberadaan bekalan barangan keperluan asas.
“Hasil pemeriksaan mendapati majoriti peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN, khususnya melibatkan penandaan harga serta penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan untuk kegunaan perdagangan.
“Hanya satu tindakan kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) hasil siasatan aduan yang diterima,” menurut kenyataan itu.
KPDN komited mempergiatkan pemantauan bagi memastikan pematuhan berterusan oleh peniaga serta mengelakkan sebarang unsur pencatutan terhadap barangan kawalan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.




