HomeUtamaOKU digalak ceburi sukan memanah para bina keyakinan diri

OKU digalak ceburi sukan memanah para bina keyakinan diri

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Golongan orang kurang upaya (OKU) digalakkan menceburi sukan memanah para sebagai platform membina keyakinan diri, selain meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental.

Saranan itu selari dengan penubuhan Kelab Memanah Strong Will yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 2 April 2026 di dewan bengkel St. John Ambulans Malaysia, di sini.

Presidennya, Paul Leong berkata, kelab berkenaan bukan sahaja berperanan melahirkan atlet berpotensi, malah membuka ruang kepada golongan OKU untuk terlibat secara aktif dalam sukan.

Menurutnya, penubuhan kelab itu juga berkait rapat dengan perkembangan awal pasukan memanah para Sabah yang bermula pada tahun 2016.

“Ketika itu, pasukan hanya dianggotai kira-kira enam pemanah iaitu tiga lelaki dan tiga wanita. Selepas enam bulan latihan, mereka dipilih menyertai SUKMA 2016 di Kuching, Sarawak.

“Walaupun masih baharu, pasukan berjaya meraih tiga pingat gangsa sebagai permulaan yang membanggakan,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena AGM tersebut.

Beliau berkata, sejak itu pasukan memanah para Sabah terus berkembang dengan penyertaan dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan serta berjaya meraih pelbagai pingat.

Tambahnya, kejayaan tersebut turut membuka laluan kepada tiga atlet Sabah untuk menyertai skuad kebangsaan dan menjalani latihan di Pusat Latihan Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

“Sebahagian besar atlet juga telah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa antaranya di Republik Czech, Jakarta, Bangkok, Belanda dan Dubai,” katanya.

Mengulas lanjut, Paul berkata, penubuhan Kelab Memanah Strong Will adalah selaras dengan keperluan semua sukan para di negeri ini untuk mempunyai kelab sendiri di bawah badan induk.

Katanya, kelab itu didaftarkan secara rasmi pada 30 Oktober 2025 di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia dengan Sijil No. C-SBH-16915.

“Nama Strong Will mencerminkan kekuatan semangat atlet-atlet istimewa dalam mengejar kejayaan serta melambangkan ketabahan, disiplin dan usaha berterusan untuk memperbaiki diri,” jelasnya.

Beliau menambah, antara objektif utama kelab adalah mengenal pasti dan melatih bakat baharu bagi mewakili negeri serta negara ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, katanya, kelab turut komited menggalakkan lebih ramai OKU untuk menyertai sukan memanah para.

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan tiada yang mustahil,” katanya.

Paul dibantu Timbalan Presiden, Elaine Van Shuk Lei; Setiausaha Agung, Lidwina Isidore Andilah; Bendahari, Mohammad Naqiyuddin Mohamad Nadzri serta tujuh ahli jawatankuasa lain.

Dua Juruaudit Dalaman turut dilantik iaitu Peter Lai Bui Nyap dan Arthur Sinabil.

Kelab berkenaan kini bernaung di bawah Persatuan Sukan dan Rekreasi Untuk Orang Kurang Upaya Negeri Sabah (PESRON) serta Persatuan Memanah Daerah Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, pihak kelab berharap dapat memperoleh sokongan dana daripada kerajaan negeri, sektor swasta serta organisasi tempatan dan antarabangsa bagi memperkasa pembangunan sukan memanah para serta meningkatkan kesejahteraan atlet di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

MPP hargai keprihatinan UMS bantu mahasiswa mangsa kebakaran Kg Bahagia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular