HomePendapatMasa Depan Pertanian Sabah: Antara Skala Kecil, Pendapatan Minimum dan Keperluan Reformasi

Masa Depan Pertanian Sabah: Antara Skala Kecil, Pendapatan Minimum dan Keperluan Reformasi

Read Time:4 Minute, 2 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Beberapa hari lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Bancian Pertanian 2024 Negeri Sabah. Ini merupakan sebahagian daripada Bancian Pertanian 2024 yang telah dilaksanakan di seluruh negara, sepanjang tempoh masa 3 bulan (7 Julai 2024 – 31 Oktober 2024).   

Laporan ini menunjukkan Sabah telah merekodkan 159,394 Pegangan Pertanian, iaitu jumlah pegangan pertanian tertinggi di Malaysia. Daripada jumlah tersebut (159,394), majoriti adalah Pegangan Pertanian Individu (98.4%: 156,770), berbanding Pegangan Pertanian Pertubuhan (1.6%: 2,624).

Walaupun jumlah yang kecil sahaja, Pegangan Pertanian Pertubuhan merangkumi 75.6% keluasan bertanam, 74.1% keluasan bertuai, 86.1% kuantiti pengeluaran serta 81.1% nilai jualan.

Ini jelas menggambarkan bahawa Pegangan Pertanian Individu melibatkan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan dan tidak menjana hasil pengeluaran serta pendapatan yang tinggi.

Menariknya, profil Pegangan Pertanian di Sabah menunjukkan:

  • kewarganegaraan: 95.6% (149,838 orang) adalah warganegara
  • jantina: 74.1% (116,162 orang) adalah lelaki
  • kumpulan etnik: 95.8% (143,510 orang) adalah bumiputera
  • sijil pendidikan: 36.1% (56,104 orang) tidak memiliki sijil

Daripada keseluruhan jumlah pegangan pertanian di Sabah, subsektor tanaman merangkumi 141,127, dengan 138,744 (Pegangan Individu) dan 2,383 (Pegangan Pertubuhan). Sebahagian besar Pegangan Pertanian Individu adalah getah (81,328), disusuli oleh kelapa sawit (34,592) dan buah-buahan (13,829) manakala Padi hanya berjumlah 6,768.

Sementara itu, ramai yang terlibat di dalam sektor pertanian Sabah, dengan jumlah tenaga kerja sebanyak 281,116 orang. Sebahagian besar (35.3%) tenaga kerja berkenaan tertumpu di tiga daerah, iaitu: Tawau (34,367 orang), Kinabatangan (33,081 orang) dan Lahad Datu (31,724 orang).

Malangnya, sektor pertanian Sabah menyediakan pendapatan yang sangat rendah, di mana purata gaji dan upah tahunan berjumlah RM 20,475 sahaja, iaitu sekitar RM 1,706 sebulan. Jumlah ini sekadar menyamai Kadar Gaji Minimum negara (RM 1,700 sebulan).

Malah, daripada 28 daerah pentadbiran di Sabah, hanya lima daerah sahaja yang telah merekodkan purata gaji dan upah tahunan yang lebih tinggi daripada purata Sabah (RM 20,475), iaitu: Telupid (RM 25,911), Semporna (RM 24,197), Keningau (RM 23,627), Tawau (RM 22,892) dan Kuala Penyu (RM 21,090).

Ini bermakna banyak daerah memiliki purata gaji dan upah yang lebih rendah daripada Kadar Gaji Minimum negara.

Apa yang membimbangkan ialah penglibatan tenaga muda di dalam sektor pertanian Sabah masih begitu rendah. Hanya 4.0% pegangan pertanian individu adalah dari kumpulan umur 15 – 30 tahun. Lebih 70% pegangan pertanian individu di Sabah berumur 46 tahun ke atas: 34.5% (46 – 59 tahun), 36.4% (60 tahun ke atas).

Profil umur petani yang menua sebegini sudah pasti boleh merencatkan agenda pembangunan sektor pertanian Sabah.

Sememangnya sukar untuk menarik minat tenaga muda menceburi sektor pertanian dengan potensi pendapatan yang kecil. Rata-rata, ramai petani masih terperangkap di dalam penjara kemiskinan. Tambahan lagi, dengan suasana pekerjaan yang mencabar, pekerjaan sektor pertanian di pandang rendah sebagai pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous, Difficult).

Laporan berkenaan turut menunjukkan sektor pertanian merupakan penyumbang ke-3 terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah. Pada tahun 2023, sektor pertanian menyumbang 15.2% kepada KDNK Sabah, berbanding sumbangan sektor Perkhidmatan (50.9%) dan Perlombongan & Pengkuarian (23.3%).

Namun begitu, semasa pembentangan Belanjawan Sabah 2026, Menteri Kewangan Sabah melaporkan bahawa sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Sabah bagi tahun 2024 adalah 14.5%.

Dengan itu, Kerajaan Sabah terus memberi tumpuan kepada sektor pertanian dengan menyediakan peruntukan besar di bawah Belanjawan Sabah 2026. Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) beserta jabatan dan agensi di bawahnya telah diberikan peruntukan berjumlah RM 559.85 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif.

Antara inisiatif berkenaan adalah:

  • RM 20 juta untuk Insentif Pengeluaran kepada Pekebun Kecil Getah
  • RM 15 juta untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan padi
  • pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan

Malah, pada bulan April 2025, Kerajaan Sabah telah meluluskan pelaksanaan Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar 2025 – 2030 (RAER 2025 – 2030), iaitu satu pelan 6-tahun bagi merancakkan ekonomi luar bandar Sabah menerusi program pertanian, perikanan, penternakan, keusahawanan dan industri hiliran.

Secara keseluruhan, pelaksanaan RAER mensasarkan penglibatan 100,000 individu atau isi rumah luar bandar Sabah, yang  di jangka dapat menjana RM 2 – 3 bilion nilai ekonomi menjelang tahun 2030. Sebagai permulaan, dana berjumlah RM 10 juta telah di luluskan bagi tahun pertama pelaksanaan RAER.

Justeru itu, bagi melonjakkan prestasi sektor pertanian, Kerajaan Sabah wajar fokus untuk meningkatkan penyertaan tenaga muda tempatan dan penggunaan teknologi terkini secara meluas. Ini bukan sahaja boleh memperkasa kemampanan jangka panjang dan daya saing sektor pertanian. Bahkan dapat meningkatkan sumbangan kepada KDNK Sabah serta mengurangkan kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing.

Ini termasuklah teknologi terkini seperti dron, Artifical Intelligence (AI) dan Internet of Things (IOT). Di banyak negara, penggunaan teknologi telah terbukti berkesan bagi mengoptimumkan kos, meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman, pengurusan makhluk perosak yang lebih efektif, serta meningkatkan pendapatan petani. 

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan tidak tolak naikkan amaun Pemberian Khas kepada Sabah dalam...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular