Oleh Wan Azrain Adnan | 29 April 2026
Secara keseluruhan, pasaran buruh negara menutup tirai tahun 2025 dalam keadaan yang kekal kukuh, dengan pertumbuhan yang konsisten. Dalam kerangka besar ini, pekerja Malaysia dilihat mula menikmati peningkatan pendapatan satu petunjuk positif yang sering dijadikan indikator kemajuan ekonomi.
Namun, di sebalik angka-angka yang memberangsangkan ini, persoalan sebenar yang wajar diteliti adalah: adakah peningkatan ini benar-benar dirasai secara menyeluruh oleh rakyat?
Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi Suku Tahun Keempat 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan jumlah penduduk bekerja seramai 17.10 juta orang.
Daripada jumlah ini, 7.08 juta merupakan pekerja formal warganegara meningkat berbanding 6.83 juta pada Disember 2024.
Mengikut definisi DOSM, pekerja formal merujuk kepada individu yang bekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau latihan perantisan dengan majikan dan menerima ganjaran tetap.
Definisi ini secara langsung mengecualikan segmen pekerjaan bukan standard seperti pekerja sendiri dan gig satu kelompok yang semakin besar dalam ekonomi semasa tetapi masih terpinggir daripada statistik utama.
Dari sudut pendapatan, median upah bulanan meningkat kepada RM3,167 pada Disember 2025, berbanding RM3,045 setahun sebelumnya. Walaupun peningkatan ini memberi isyarat positif, realitinya ia masih belum cukup signifikan untuk benar-benar mengimbangi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Lebih membimbangkan, masih terdapat 8.4% pekerja formal yang menerima gaji di bawah RM1,700 paras gaji minimum semasa yang berkuat kuasa sejak Februari 2025.
Walaupun angka ini menunjukkan penurunan ketara daripada 21% pada tahun sebelumnya, ia tetap mencerminkan bahawa sebahagian rakyat masih berada di bawah garis pendapatan minimum yang sewajarnya.
Dari perspektif sektor ekonomi, jurang pendapatan antara industri kekal ketara. Sektor Perlombongan dan Pengkuarian mencatat median upah tertinggi sebanyak RM7,900, jauh meninggalkan sektor lain seperti Pembuatan (RM3,422), Pembinaan (RM3,127) dan Perkhidmatan (RM3,120).
Sebaliknya, sektor Pertanian terus ketinggalan dengan median upah hanya RM2,564. Realiti ini memberi implikasi besar terhadap usaha kerajaan menarik minat tenaga kerja muda ke sektor tersebut, apatah lagi apabila pekerjaan pertanian masih dilabel sebagai pekerjaan 3D — Dirty, Dangerous, Difficult.
Dari segi komposisi tenaga kerja, sektor Perkhidmatan terus mendominasi dengan 68.1% atau 4.82 juta pekerja. Ini diikuti oleh sektor Pembuatan (17.6%), Pembinaan (6.3%), Pertanian (1.8%) dan Perlombongan (0.5%). Struktur ini memperlihatkan kebergantungan ekonomi negara kepada sektor perkhidmatan yang semakin tinggi.
Jurang pendapatan antara jantina pula masih wujud, walaupun tidak terlalu ketara. Median upah pekerja lelaki berada pada RM3,167 yang menyamai kadar nasional manakala pekerja wanita mencatat RM3,120. Dari segi jumlah, pekerja lelaki kekal majoriti dengan 55.1% berbanding 44.9% pekerja wanita.
Namun, jurang yang lebih ketara dapat dilihat dari sudut etnik. Pekerja Cina mencatat median upah tertinggi sebanyak RM4,767, diikuti pekerja India (RM3,120). Pekerja Bumiputera pula berada pada kadar RM2,627 lebih rendah daripada median nasional.
Walaupun Bumiputera membentuk majoriti tenaga kerja (63%), realiti ini menimbulkan persoalan tentang kualiti pekerjaan dan akses kepada peluang berpendapatan tinggi.
Dari perspektif geografi, hanya tiga wilayah mencatat median upah melebihi paras nasional, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4,391), Pulau Pinang (RM3,500) dan Selangor (RM3,400).
Sebaliknya, negeri-negeri seperti Kelantan (RM1,800), Perlis (RM1,864) dan Sabah (RM2,045) terus berada di kelompok bawah. Jurang ini memperlihatkan ketidakseimbangan pembangunan yang masih ketara antara wilayah.
Dalam konteks Sabah, peningkatan median upah hanya 2.25% daripada RM2,000 kepada RM2,045 menggambarkan realiti pasaran buruh yang masih rapuh. Ia bukan sekadar isu semasa, tetapi berkait rapat dengan legasi struktur ekonomi yang masih dalam proses pembaikan.
Walaupun begitu, terdapat perkembangan positif yang tidak boleh diketepikan. Sabah mencatat prestasi pelaburan memberangsangkan pada tahun 2025 dengan jumlah RM14.6 bilion meningkat 125% berbanding RM6.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Lonjakan ini berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjadi asas kepada pengukuhan pasaran buruh negeri dalam jangka sederhana.
Kesimpulannya, naratif “pendapatan rakyat meningkat” sememangnya berasaskan fakta. Namun, realiti di lapangan menunjukkan bahawa peningkatan tersebut masih belum cukup inklusif dan seimbang.
Jurang sektor, jurang wilayah dan jurang struktur masih wujud dan inilah cabaran sebenar yang perlu ditangani jika Malaysia benar-benar mahu memastikan kemakmuran ekonomi dirasai oleh semua lapisan rakyat, bukan sekadar tercermin dalam angka statistik.



