RANAU: Seramai 12 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Timbua, di sini, menerima bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi meringankan beban mereka.
Bantuan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam ketika mengadakan lawatan ke kawasan kejadian baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan merupakan antara langkah segera kerajaan negeri dalam membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran tersebut.
Dalam pada itu, Joachim berkata kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.
Beliau turut menzahirkan simpati terhadap semua mangsa yang terlibat dan berharap bantuan yang disalurkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.
Selain itu, beliau juga menghargai usaha pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa.
Kebakaran yang berlaku baru-baru ini menjejaskan beberapa keluarga di kampung berkenaan, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.



