Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Penggunaan teknologi satelit mampu meningkatkan keupayaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam memantau serta menangani pelbagai isu bandar secara lebih pantas dan berkesan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan berasaskan data itu membolehkan pihak berkuasa tempatan bertindak secara lebih tepat berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh melalui pemantauan teknologi.

“Melalui penggunaan satelit, pelbagai aspek boleh dipantau termasuk penempatan setinggan, tahap kebersihan, aliran trafik serta aktiviti industri.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan diambil dengan lebih cepat kerana keputusan dibuat berdasarkan data yang jelas dan tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBKK dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Inisiatif itu akan memanfaatkan teknologi angkasa serta analisis data bagi memperkukuh pengurusan bandar.
Joniston berkata, teknologi berkenaan juga membantu mengenal pasti trend dan tahap keseriusan sesuatu isu, sekali gus memudahkan perancangan tindakan yang lebih efektif.
Sebagai contoh katanya, peningkatan kawasan setinggan atau masalah kebersihan dapat dikenal pasti lebih awal melalui imej satelit, sebelum langkah intervensi dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, penggunaan teknologi itu turut meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan bandar, memandangkan setiap tindakan boleh disokong dengan bukti yang kukuh.
Dalam pada itu, Joniston berkata, inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting ke arah mempercepatkan transformasi Kota Kinabalu sebagai bandar pintar yang memanfaatkan teknologi moden.
“Jika kita tidak mengadaptasi teknologi, kita akan ketinggalan. Oleh itu, pendekatan ini penting untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat sentiasa cekap dan responsif,” katanya.
Sementara itu, Joniston berkata, pendekatan bandar berasaskan data itu disasar untuk diperluaskan ke seluruh negeri dalam usaha memperkukuh kecekapan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, inisiatif kerjasama antara DBKK dan MYSA itu dilihat sebagai langkah berpandangan jauh yang wajar dicontohi oleh PBT lain.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mempercepatkan penyelesaian masalah bandar, malah meningkatkan keupayaan kerajaan dalam membuat keputusan berdasarkan data dan bukti yang tepat.
“Kita melihat ini sebagai satu usaha yang baik dan berpandangan jauh. Harapan kita agar PBT lain juga dapat mengikuti jejak langkah ini pada masa akan datang.
“Jika pendekatan ini dapat diperluaskan, kita boleh melihat satu sistem pengurusan bandar yang lebih cekap dan moden di seluruh Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA



