HomeUtamaSMK Matunggong kekal sekolah luar bandar terbaik Sabah sembilan tahun berturut-turut

SMK Matunggong kekal sekolah luar bandar terbaik Sabah sembilan tahun berturut-turut

Read Time:1 Minute, 24 Second

MATUNGGONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matunggong terus mengekalkan kecemerlangan apabila muncul sebagai sekolah harian luar bandar terbaik di Sabah selama sembilan tahun berturut-turut.

Sekolah itu turut menduduki tangga ke-13 daripada 223 sekolah di negeri ini bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Selain mencatat kadar kelulusan 100 peratus untuk tahun keenam berturut-turut, sekolah berkenaan turut merekodkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 3.34.

Daripada 141 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2025, seramai 55 pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan sekurang-kurangnya lima A.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pencapaian itu membuktikan sekolah luar bandar mampu berdiri setanding dengan sekolah lain di negeri ini.

“Pencapaian ini mencerminkan disiplin dan ketahanan pelajar. Kejayaan lahir daripada semangat yang tidak mudah menyerah walaupun berdepan cabaran,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar SMK Matunggong 2025, di sini, pada Isnin.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan insentif tunai kepada pelajar cemerlang sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka.

Julita berkata, kejayaan berterusan itu selaras dengan usaha menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan, seperti yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, pendekatan berterusan dalam memperkukuh pendidikan telah menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik pelajar secara menyeluruh.

Beliau turut menegaskan bahawa latar belakang bukan penentu masa depan seseorang, sebaliknya disiplin dan sikap memainkan peranan penting dalam kejayaan.

“Disiplin adalah kunci kemajuan. Kejayaan datang daripada usaha yang berterusan, walaupun langkah itu kecil dan perlahan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah serta guru atas komitmen berterusan dalam memastikan kecemerlangan sekolah dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.

Majlis itu menghimpunkan pelajar, guru serta ibu bapa dalam meraikan pencapaian akademik sekolah, selain menyuntik semangat untuk terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkasa modal insan, fokus generasi muda luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular