PUTRAJAYA, Kerajaan hari ini mengumumkan satu rangka tindakan menyeluruh merangkumi bantuan bersasar, intervensi harga dan pengurangan kos operasi bagi menangani kesan krisis bekalan global yang terus memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan tersebut digerakkan melalui beberapa inisiatif utama yang memfokuskan kepada kestabilan bekalan makanan, kelangsungan perniagaan kecil serta akses rakyat kepada barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil, dalam keadaan kos global yang terus meningkat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anwar yang turut menerangkan mengenai intervensi Kerajaan berhubung beberapa Langkah Kerajaan berhubung perkara berkenaan,
Menurutnya Bantuan Khas Insentif Pembajakan pada 14 April lalu yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, saudara Muhammad Sabu dan ditingkatkan dari RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah padi ekoran dari kenaikan harga diesel.
Selain itu, tambahan bantuan tunai RM200 sebagai pendahuluan turut diluluskan bagi membolehkan pesawah meneruskan aktiviti penanaman, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta dan memberi manfaat kepada kira-kira 240,000 pesawah berdaftar.
Dalam masa sama, operasi pembenihan awan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dipertingkatkan bagi menangani kesan musim kemarau berpanjangan di utara Semenanjung, khususnya di Kedah, yang menjejaskan hasil pertanian.
Tambah Anwar lagi kerajaan turut mengarahkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan milik agensi seperti Majlis Amanah Rakyat dan UDA Holdings Berhad berkuat kuasa bulan ini.
Langkah itu selari dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewaan, dengan kerajaan turut menggesa semua pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri melaksanakan pendekatan sama secara menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan pengurangan sewa premis perniagaan di negeri berkenaan dalam masa terdekat.
Tambah Anwar lagi, Kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan Program Jualan Rahmah dengan sasaran 30,000 penganjuran pada tahun 2026, berbanding lebih 25,000 yang dilaksanakan tahun lalu.
Program ini menawarkan barangan keperluan pada harga antara lima hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran dan akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seminggu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.
Pelaksanaannya juga diperluaskan ke kawasan luar bandar, dengan penekanan kepada penglibatan peniaga kecil bagi memastikan manfaat lebih inklusif.
Mengulas tekanan fiskal, Anwar berkata kerajaan kini menanggung tambahan kira-kira RM5 bilion sebulan susulan pelaksanaan bantuan bahan api, termasuk diesel.
Beliau menegaskan bahawa walaupun langkah tersebut memberi beban kepada kewangan kerajaan, ia kekal penting bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos global.
Walaupun mengakui langkah-langkah yang diumumkan tidak menyelesaikan sepenuhnya kesan krisis bekalan global, Anwar menegaskan kerajaan akan terus menilai keadaan semasa dan memperkenalkan langkah tambahan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan akan terus meneliti dan mencari ikhtiar baharu melalui mesyuarat berkala bagi memastikan beban rakyat dapat dikurangkan secara berterusan,” katanya.



