HomeUtamaPinjamkan akaun bank, lelaki dipenjara empat tahun

Pinjamkan akaun bank, lelaki dipenjara empat tahun

Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki meminjamkan akaun bank kepada rakannya membawa padah apabila dia dipenjara empat tahun kerana terlibat dalam transaksi tidak sah membabitkan RM15,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainuddin Jailani, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Zainuddin telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi berjumlah RM15,000 menggunakan akaun banknya pada 9 April 2025 di sebuah cawangan bank di Inanam, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu terlihat iklan jualan kereta terpakai di Facebook pada 8 April 2025.

Pengadu kemudian berhubung dengan pemilik nombor telefon WhatsApp yang dikenali sebagai Wan dan menyatakan minat untuk membeli sebuah kenderaan jenis Ford Ranger berharga RM17,400. Selepas perbincangan, harga kenderaan itu diturunkan kepada RM15,000.

Pengadu kemudian diminta pergi ke Carsome Inanam dan bertemu dengan tiga lelaki yang  memaklumkan bahawa urusan pembayaran perlu dirunding dengan individu bernama Wan.

Pengadu turut melakukan pandu uji terhadap kenderaan berkenaan.

Pengadu kemudian membuat dua transaksi pembayaran menggunakan mesin deposit tunai (CDM) ke akaun BSN milik tertuduh.

Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, pengadu dimaklumkan bahawa Wan bukan pemilik sebenar kenderaan itu dan harga sebenar Ford Ranger tersebut ialah RM32,000.

Pengadu kemudian diminta membuat bayaran tambahan RM12,000 kononnya bagi tujuan resit pembayaran dan dijanjikan wangnya akan dikembalikan. Namun, pengadu enggan membuat sebarang bayaran tambahan dan kenderaan itu juga tidak diserahkan kepadanya.

Pengadu cuba menghubungi Wan, namun panggilannya tidak dijawab sebelum dia menyedari dirinya telah ditipu.

Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tidakan dan rujukan kepada pihak bank bagi mendapatkan semula wang miliknya dan menyekat akaun bank berkenaan.

Semasa rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan tiga orang anak.

Tertuduh turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia meminjamkan nombor akaun bank miliknya kepada seorang rakan. Menurutnya, rakannya itu mahu menerima wang daripada ahli keluarga, namun tidak mempunyai akaun bank sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengedalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kaji cadangan hidupkan semula barter trade dengan selatan Filipina

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular