KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh kecemerlangan penyelidikan marin menerusi perolehan lima bot baharu bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, perolehan tersebut merupakan langkah strategik dalam memastikan penyelidikan marin dilaksanakan dengan lebih efektif dan selamat, sejajar dengan mandat UMS sebagai peneraju bidang sains marin dan akuakultur di peringkat serantau dan global.
“Sebelum ini, IMB beroperasi menggunakan bot penyelidikan yang telah usang, malah ada yang berusia lebih 20 tahun, sekali gus menjejaskan kecekapan serta keselamatan penyelidik dan pelajar.
“Perolehan aset baharu ini akan memacu aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta penyelidikan, khususnya bagi pelajar Sains Marin dan Akuakultur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Bot Baharu Institut Marin Borneo (IMB) yang berlangsung di Jeti UMS, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.
Tambah Kasim, perolehan aset moden tersebut selari dengan Pelan Strategik UMS 2023-2027 yang memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan bakat.
“Langkah ini juga menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi serta pembangunan Ekonomi Biru, di samping memperkukuh peranan UMS sebagai hab rujukan utama dalam sains marin tropika di rantau ini.
“Saya berharap agar semua warga IMB dapat memanfaatkan serta menyelenggara aset tersebut dengan sebaik mungkin bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan penyelidikan universiti,” katanya.
Sementara itu, Dekan IMB UMS, Profesor Madya Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah berkata perolehan lima bot baharu tersebut adalah di bawah RMK-12 Rolling Plan Lima (RP5), yang merupakan keperluan kritikal bagi menggantikan aset lama yang tidak lagi sesuai digunakan.
“Bot-bot ini akan memberi impak besar kepada aktiviti akademik dan saintifik, khususnya dalam melaksanakan latihan amali dan kajian lapangan secara lebih efektif, efisien serta selamat.
“Lima bot baharu tersebut terdiri daripada tiga bot jenis vanguard iaitu UMS Enhalus, UMS Epinephelus dan UMS Batillipes, serta dua bot jenis katamaran iaitu UMS Cheilinus dan UMS Astrea.
Tambah Faihana, Pemilihan nama bot-bot tersebut diinspirasikan daripada khazanah biodiversiti marin serta bidang tujah penyelidikan IMB.
“Enhalus merujuk kepada rumput laut dominan Enhalus acoroides di perairan Sepanggar, manakala Epinephelus diambil daripada genus ikan kerapu yang ikonik.
“Batillipes pula merupakan nama saintifik bagi beruang air (tardigrade), yang melambangkan ketahanan dan ketelitian dalam penerokaan biodiversiti marin.
“Cheilinus dan Astrea masing-masing merujuk kepada genus ikan maming yang menjadi spesies kajian utama HICoE IMB serta genus karang laut, sejajar dengan komitmen IMB dalam pemuliharaan ekosistem marin,” katanya.
Faihana turut memaklumkan kesemua bot berkenaan dilengkapi ciri keselamatan mengikut piawaian Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) serta mampu menampung kapasiti kru dan penumpang bagi operasi penyelidikan di perairan Sabah.
Institut Marin Borneo (IMB) yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), merupakan pusat kecemerlangan UMS yang memfokuskan kepada bidang oseanografi, akuakultur lestari serta pemuliharaan biodiversiti marin.



