HomeUtamaWanita koma di Vietnam tunjuk perkembangan positif selepas terima rawatan di...

Wanita koma di Vietnam tunjuk perkembangan positif selepas terima rawatan di Sabah

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan koma ketika berada di Vietnam kini semakin stabil dan menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau dimaklumkan oleh pasukan doktor bahawa keadaan pesakit, Rohana Joseph dilaporkan semakin baik berbanding ketika tiba di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pihak hospital kini sedang memberikan rawatan terbaik dan beliau yakin dengan kepakaran pegawai perubatan yang mengendalikan kes tersebut.

“Saya diberitahu bahawa keadaan pesakit beransur baik berbanding ketika beliau tiba di Kota Kinabalu dan kita yakin dengan kepakaran doktor-doktor yang ada di sini, insya-Allah pesakit ini akan dapat dirawat dengan sebaiknya dan sembuh secepat mungkin,” katanya selepas menziarahi Rohana di HQE II di sini.

Rohana merupakan isteri kepada Jamri Herry yang juga kakitangan Majlis Sukan Negeri Sabah di bawah kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas keprihatinan membantu mengurus kepulangan Rohana ke Sabah bagi mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat mengenai insiden berkenaan, kementeriannya terus berhubung dengan Yayasan Kebajikan Sabah selepas perkara itu turut sampai ke pengetahuan Ketua Menteri.

“Kita ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Menteri atas keprihatinan beliau apabila mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah untuk mengurus perjalanan balik pesakit ini supaya dapat dirawat di Kota Kinabalu,” katanya.

Menurut beliau, Rohana selamat tiba di Sabah pada Jumaat lalu sebelum dimasukkan ke HQE II untuk rawatan lanjut.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada barisan pegawai perubatan dan pakar hospital yang bertungkus-lumus memberikan rawatan terbaik kepada pesakit sepanjang tempoh rawatan.

Katanya, beliau juga sempat bertemu suami Rohana, Jamri yang disifatkan sebagai seorang yang tabah menghadapi ujian tersebut.

“Saudara Jamri turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri atas inisiatif dan keprihatinan yang memudahkan segala urusan berkaitan rawatan isterinya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita didakwa jalankan pusat asuhan tidak berdaftar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular