Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Finalis Unduk Ngadau Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu Jacqueency Jwen John mencuri tumpuan apabila berjaya meraih tiga anugerah pada pertandingan Linundus Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu dinobatkan sebagai Johan Tati Basaan Tinunturu Notinangas, selain turut memenangi gelaran Tati Topiodo dan Miss Kaamatan IMAGO.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Jacqueency sebagai salah seorang peserta pilihan dalam pertandingan berprestij sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat Bandaraya Kota Kinabalu yang berlangsung petang ini.
Sementara itu, Adylee Arisen turut mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Tati Basaan Tinandai Togingo.

Naib Johan bagi kategori tersebut dimenangi oleh Nicole Lynn Maurice, manakala tempat ketiga menjadi milik Elisa Olanda Jainis.
Bagi kategori Tati Basaan Tinunturu Notinangas pula, tempat kedua dimenangi oleh Liane Melve Grace Lias, manakala Jean Christzabeth Yusevender menduduki tempat ketiga.
Liane Melve Grace Lias turut membawa pulang gelaran Tati Kaanangan FB, sekali gus menambah pencapaian beliau dalam pertandingan itu.

Gelaran Tati Opining pula dimenangi oleh Salistah Samuel, manakala Grace Jorest Josip dinobatkan sebagai Tati Tosuau.
Turut menerima hadiah saguhati ialah Divya Flavia Chai, Sharlene Adelaide Alexandra, Dovindra Ashley Alvin, Joyce Nia David, Lovyssa Lorand, Avril Frances Nelver dan Felecity Chen Sing Yee.
Petang ini, pertandingan UNK Bandaraya Kota Kinabalu akan berlangsung bagi memilih tiga peserta mewakili Bandaraya Kota Kinabalu; KDCA Bandaraya dan KDCA Tanjung Aru ke peringkat negeri pada 31 Mei ini. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK



