Oleh J Evachel John
BELURAN: Dyann Dharlla Dominic dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Daerah Beluran pada pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan yang berlangsung di sini pada Sabtu.
Jururawat berusia 25 tahun itu membawa pulang wang tunai RM5,000, mahkota, trofi serta pelbagai hadiah tajaan barangan dan perkhidmatan.
Tampil anggun menggayakan pakaian tradisi Dusun Labuk, Sabung Labuk, Dyann berjaya memukau para juri terutamanya ketika sesi soal jawab apabila menjawab dua soalan dengan fasih dalam bahasa Dusun.
Naib juara, Alessandra Domissin menerima RM3,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Cylonnie Ceshiela Chee yang membawa pulang RM2,000.
Mereka turut menerima mahkota, trofi serta hadiah tajaan barangan dan perkhidmatan lain.
Pertandingan yang menampilkan sembilan peserta itu merupakan antara acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah berkenaan tahun ini.
Majlis itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum.




