HomeUtamaMasidi dilantik timbalan pengerusi GRS, Armizan sebagai setiausaha agung

Masidi dilantik timbalan pengerusi GRS, Armizan sebagai setiausaha agung

Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU  : Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun, dilantik sebagai salah seorang daripada lima Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam rombakan terbaharu kepimpinan gabungan pemerintah negeri itu.

Pelantikan tersebut dibuat susulan penyertaan keluar Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) daripada GRS, yang sebelum ini diwakili presidennya Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Timbalan Pengerusi gabungan berkenaan.

Selain Masidi, empat Timbalan Pengerusi GRS yang lain dikekalkan iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah, Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah; serta Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.

Dalam masa sama, jawatan Setiausaha Agung GRS yang sebelum ini disandang Masidi kini diambil alih oleh Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung gabungan tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, dilantik semula sebagai Ketua Penerangan GRS bagi meneruskan peranannya dalam memperkukuh komunikasi dan penyampaian maklumat gabungan itu.

Rombakan kepimpinan tersebut turut menyaksikan dua muka baharu dalam struktur tertinggi GRS.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui daripada PBS, dilantik sebagai Bendahari Agung baharu menggantikan Ardino Diris.

Beliau juga memegang jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan serta Timbalan Bendahari Agung PBS.

Satu lagi pelantikan baharu ialah Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Razali Rali, yang kini mengisi jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS menggantikan Armizan.

Rombakan kepimpinan ini dilihat sebagai usaha menyusun semula struktur pentadbiran GRS dalam memperkukuh kerjasama parti-parti komponen menjelang agenda politik negeri Sabah akan datang.

RELATED ARTICLES
Utama

Isu sekolah daif tidak wajar diputarbelit demi politik – James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular