HomeUtamaDakwaan guru pikul beras ke SK Pinawantai, Ranau adalah palsu - JPNS

Dakwaan guru pikul beras ke SK Pinawantai, Ranau adalah palsu – JPNS

Read Time:1 Minute, 14 Second

RANAU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa seorang guru terpaksa memikul beras dan bekalan makanan meredah hutan hampir tiga jam untuk dihantar ke Sekolah Kebangsaan (SK)  Pinawantai di sini.

Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin berkata, maklumat yang tersebar itu adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, terdapat dua sekolah di negeri ini menggunakan nama SK Pinawantai, masing-masing di Ranau dan Kudat, namun kedua-dua sekolah itu tidak mempunyai asrama dan terletak berhampiran jalan raya.

“Semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah. Oleh itu, tidak timbul isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Raisin berkata, guru besar sekolah berkenaan turut membuat penafian rasmi dan menegaskan bahawa sekolah itu tidak mempunyai guru bernama Farhan seperti yang didakwa dalam hantaran tular tersebut.

Beliau menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dan menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, khususnya apabila melibatkan institusi pendidikan.

Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Roseline Liji pemilik hantaran berkenaan menurunkan kandungan itu bagi menjaga nama baik Kementerian Pendidikan Malaysia, JPNS, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau dan SK Pinawantai.

Terdahulu, media sosial dibanjiri kisah menyentuh hati mengenai seorang guru berusia 26 tahun yang kononnya sanggup memikul kampit beras dan barangan keperluan asas menggunakan wang sendiri demi memastikan murid asrama tidak terputus bekalan makanan.

Kisah itu mendapat perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang memuji pengorbanan guru terbabit.

Bagaimanapun, siasatan JPNS mendapati dakwaan tersebut tidak berasas.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didenda RM5,000 biak Aedes

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular