HomeUtamaKanak-kanak 11 tahun ditemukan lemas di Sungai Rampayan

Kanak-kanak 11 tahun ditemukan lemas di Sungai Rampayan

Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mencari ikan di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Manggatal, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa dikenali sebagai Akil Hamizan Ahmad dikatakan pergi ke sungai berkenaan bersama sembilan rakannya yang tinggal di kawasan sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa bersama seorang rakannya dipercayai tersasar sebelum dibawa arus sungai.

“Rakan-rakan mangsa kemudian segera mendapatkan bantuan orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Anggota dari Balai Polis Manggatal yang menerima maklumat awal terus bergerak ke lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Pasukan Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di lokasi kira-kira jam 4 petang sebelum mangsa ditemukan pada jam 4.17 petang.

Katanya, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan di lokasi sebelum mangsa dibawa ke Hospital Likas menggunakan ambulans.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang oleh doktor hospital,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian berkenaan.

Kasim berkata, kejadian itu menjadi peringatan kepada ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika berada di kawasan sungai atau perairan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan risiko lemas terutama di kawasan sungai yang arusnya boleh berubah dengan pantas,” katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

RELATED ARTICLES
Utama

Rayuan ditolak: Lelaki kekal dipenjara seumur hidup, 15 sebat edar ganja

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular