HomeUtamaCFLC dibuka di BBP Putatan, galak komuniti dekati balai bomba

CFLC dibuka di BBP Putatan, galak komuniti dekati balai bomba

Read Time:1 Minute, 35 Second

PUTATAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil pendekatan baharu dalam usaha mendekatkan perkhidmatan bomba kepada masyarakat apabila ‘Community Fire Learning Center (CFLC)’ dibuka di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts Nor Hisham Mohammad berkata, pusat pembelajaran komuniti itu bukan sahaja berfungsi sebagai tempat pendidikan awam mengenai keselamatan kebakaran, malah boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti masyarakat seperti mesyuarat, jamuan dan majlis komuniti.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan bagi menggalakkan masyarakat lebih dekat dengan balai bomba sambil meningkatkan pengetahuan mereka mengenai langkah pencegahan kebakaran.

“Kita mahu komuniti melihat balai bomba sebagai pusat pembelajaran dan tempat yang mesra masyarakat.

“Jika ada yang mahu mengadakan mesyuarat, sambutan hari jadi, program sekolah atau aktiviti komuniti, kita sedia mempertimbangkannya selagi ia bersesuaian dengan kemudahan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan CFLC di BBP Putatan, di sini pada Khamis.

Nor Hisham berkata, setiap program yang diadakan di pusat berkenaan mesti dimulakan dengan sesi pendidikan awam mengenai keselamatan kebakaran.

Katanya, sesi ringkas itu akan memberi pendedahan kepada pengunjung tentang perkara asas yang boleh menyelamatkan nyawa ketika kecemasan.

“Antara perkara yang ditekankan ialah lokasi penyimpanan kunci grill, cara menguji Main Control Board (MCB), serta pelan keluar sekiranya berlaku kebakaran.

“Perkara ini kelihatan mudah, tetapi ia sangat penting dan boleh menjadi faktor penentu antara hidup dan mati,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, kejadian kebakaran mungkin tidak berlaku kerap, namun kerana ia jarang berlaku, ramai orang cenderung melupakan pengetahuan asas yang perlu diketahui.

Sehubungan itu, katanya, CFLC diwujudkan sebagai platform pendidikan berterusan supaya masyarakat sentiasa peka terhadap langkah keselamatan di rumah dan tempat kerja.

Beliau berkata, pendekatan itu juga dapat mengeratkan hubungan antara bomba dan komuniti, sekali gus mewujudkan budaya keselamatan yang lebih kukuh dalam kalangan masyarakat.

CFLC Putatan merupakan pusat pertama seumpamanya di Sabah dan dijangka menjadi model bagi pelaksanaan inisiatif sama di daerah lain termasuk Sandakan dan Tawau. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Empat lelaki nafi rosakkan kabel TM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular