KOTA KINABALU: Seorang lelaki diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan bawah umur.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu terhadap Mohd Yaakob Sidi, 63, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 7 dan 8 September depan untuk prosiding pembelaan Mohd Yaakob.
Mohd Yaakob didakwa melakukan kesalahan itu terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun pada jam 9.30 malam, 1 April 2024, di dalam lif sebuah apartmen di Putatan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mengendalikan pendakwaan manakala Mohd Al Hafidz Mohd Lokman mewakili Mohd Yaakob yang dibenarkan ikat jamin.



