KOTA KINABALU: Inisiatif Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) terus diperkasa sebagai platform memperluas promosi dan pasaran produk tempatan melibatkan pelbagai sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menjadi antara strategi penting kerajaan dalam mengukuhkan permintaan terhadap barangan tempatan.
Menurut beliau, program itu menghimpunkan pelbagai pemain industri tempatan merangkumi segmen makanan dan minuman (F&B), gaya hidup, kecantikan, fesyen, kraf tangan serta perkhidmatan daripada usahawan PMKS sehingga jenama premium tempatan.
“Program ini bukan sahaja menjadi platform pemasaran dan promosi, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pengukuhan kebolehpasaran produk Malaysia.
“Melalui pendekatan ini, kita mahu memperluaskan lagi sokongan rakyat terhadap penggunaan produk tempatan sekali gus membantu usahawan meningkatkan daya saing mereka,” katanya dalam sidang media di sini, pada Sabtu.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Armizan berkata, program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk reruai jualan usahawan tempatan, pameran dan kaunter perkhidmatan agensi kerajaan serta Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM).
Selain itu katanya, sesi forum dan bicara keusahawanan bersama Persatuan Inspirasi Wanita Sabah turut diadakan membabitkan kira-kira 500 peserta.
Beliau berkata, penganjuran di Kota Kinabalu merupakan siri pertama daripada lima siri Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia yang dirancang bagi tahun 2026.
“Penganjuran program seperti ini akan diteruskan bagi memastikan lebih banyak usahawan tempatan mendapat akses kepada peluang promosi dan pasaran yang lebih luas,” katanya.



