HomeUtamaPaitan rintis kesedaran internet selamat di Sabah menerusi Karnival Komuniti 2026

Paitan rintis kesedaran internet selamat di Sabah menerusi Karnival Komuniti 2026

Read Time:2 Minute, 2 Second

PAITAN: Daerah Paitan menjadi lokasi pertama di Sabah bagi pelaksanaan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha memperluaskan kesedaran penggunaan internet secara selamat hingga ke peringkat komuniti luar bandar.

Program yang berlangsung di Dewan Datuk James Ratib, Pekan Botition itu diadakan bersempena Sambutan Hari Kaamatan Daerah Paitan dan disempurnakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib.

Kempen berkenaan memberi fokus kepada pendidikan keselamatan internet, risiko ancaman siber serta penggunaan media sosial secara bertanggungjawab khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar agar tidak tercicir daripada menerima pendedahan berkaitan dunia digital.

MCMC dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, Karnival Komuniti di Paitan merupakan siri pertama daripada 20 program yang akan dilaksanakan di seluruh Sabah menerusi pendekatan turun padang dan penglibatan langsung bersama masyarakat.

“Pelbagai aktiviti interaktif diadakan sepanjang program termasuk pameran agensi, sesi perkongsian keselamatan internet, aktiviti kekeluargaan serta advokasi komuniti.

“Pendaftaran Wira Internet Selamat (WIS) turut dibuka sebagai inisiatif sukarelawan komuniti bagi membantu memperluas mesej penggunaan internet secara selamat dan berhemah,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, keperluan memperkukuh kesedaran keselamatan internet di Sabah kini semakin penting susulan peningkatan aduan kandungan dalam talian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak 2023 hingga Mei 2026, sebanyak 5,455 aduan direkodkan di Sabah dengan kes penipuan dalam talian mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,500 kes.

Selain itu, kes buli siber dan pornografi kanak-kanak turut menunjukkan trend membimbangkan.

Di Sandakan sahaja, sebanyak 998 aduan diterima dengan 384 kes melibatkan penipuan dalam talian.

Dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna internet khususnya kanak-kanak dan remaja, kerajaan turut mengambil langkah lebih tegas termasuk menetapkan pengguna bawah umur 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial secara bebas mulai pertengahan tahun ini.

Pada masa sama, penyedia perkhidmatan digital juga dikehendaki menyediakan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) bagi membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Inisiatif itu selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau Online Safety Act (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu bagi memperkukuh keselamatan pengguna di alam siber, terutama membabitkan perlindungan kanak-kanak dan keluarga.

Program berkenaan turut disertai pelbagai agensi dan rakan strategik MCMC termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Karnival tersebut berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung sepanjang program berlangsung sekali gus mencerminkan komitmen MCMC dalam memperluas mesej keselamatan internet menerusi pendekatan yang dekat dengan komuniti dan budaya masyarakat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

50 finalis rebut gelaran Randawi Tavantang Kaamatan 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular