HomeUtamaUMS lancar projek LINC bantu murid B40 tingkat literasi dan numerasi di...

UMS lancar projek LINC bantu murid B40 tingkat literasi dan numerasi di Tuaran

Read Time:1 Minute, 52 Second

TUARAN  : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran dan Yayasan Hasanah telah melancarkan Projek Pemulihan Literasi dan Numerasi Kolaboratif (LINC) baru-baru ini bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik murid asrama harian B40 Tingkatan Satu di daerah Tuaran.

Inisiatif strategik itu dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) yang berlangsung di SMK Badin sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, pihak pendidikan daerah dan organisasi pembiayaan sosial dalam menangani isu keciciran pembelajaran di kawasan luar bandar.

Projek berkenaan dijadualkan dilaksanakan bermula 8 Jun hingga 25 Dis depan dengan memberi fokus kepada intervensi pemulihan akademik dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik melibatkan empat sekolah asrama harian di Tuaran.

Sekolah yang terlibat ialah SMK Tun Fuad Stephens, SMK Tamparuli, SMK Tenghilan dan SMK Badin.

Menurut Ketua Penyelidik LINC’26, Prof Madya Dr Wardatul Akmam Din, data Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) 2024/2025 menunjukkan tahap penguasaan literasi dan numerasi murid luar bandar berada pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata antara dapatan yang direkodkan ialah kadar kegagalan Matematik sebanyak 56.90 peratus di SMK Tenghilan dan 42.04 peratus di SMK Badin.

“Susulan itu, projek ini memperkenalkan pendekatan intervensi berstruktur menerusi transformasi sesi ‘Masa Prep’ di asrama harian kepada sesi mentor-murid intensif yang dikendalikan secara pengajaran berpasukan tanpa mengganggu pembelajaran arus perdana.

“Antara objektif utama projek ini ialah memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus murid yang memperoleh Gred F dalam Bahasa Inggeris dan Matematik berjaya meningkatkan pencapaian kepada Gred C atau lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan. 

Selain itu, program berkenaan turut menyasarkan pemberian sokongan remedial sebanyak 3,360 minit bagi setiap murid serta melatih 16 graduan tempatan sebagai mentor profesional menerusi program Training of Trainers (TOT).

Terdahulu, Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Prof Madya Dr Soon Singh Bikar Singh mewakili UMS memeterai LoI tersebut, manakala PPD Tuaran diwakili Pegawai Pendidikan Daerah, Awang Seman Awang Tahir.

Seramai 27 penyelidik daripada UMS, Universiti Malaysia Perlis dan PPD Tuaran terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Program itu turut disusuli pembentangan projek kepada pengetua, penolong kanan pentadbiran, ketua bidang dan ketua panitia sekolah terlibat bagi memastikan penyelarasan awal pelaksanaan projek dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Projek berkenaan dijangka menjadi model pemulihan akademik asrama harian yang mapan serta berpotensi diperluaskan ke sekolah lain di Sabah pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Vaksin influenza percuma untuk warga emas 50 tahun ke atas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular