HomeUtamaSindiket tawar MyKad palsu tumpas, kaut hingga RM20,000 seorang mangsa

Sindiket tawar MyKad palsu tumpas, kaut hingga RM20,000 seorang mangsa

Read Time:2 Minute, 1 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan sindiket penipuan permohonan MyKad yang dipercayai aktif sejak Mei tahun lalu dengan penahanan sembilan individu menerusi Op Pugo.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sindiket terbabit menyasarkan warga asing kelahiran Sabah yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dengan mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM20,000 bagi setiap permohonan.

Menurutnya, siasatan bermula selepas seorang wanita berusia 30 tahun membuat laporan polis pada 13 Mac lalu mendakwa ditipu RM20,000 oleh individu yang menjanjikan urusan mendapatkan kad pengenalan Malaysia.

“Hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tiada sebarang rekod permohonan MyKad atas nama mangsa.

“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Sabah dengan kerjasama beberapa daerah melancarkan Op Pugo dan berjaya menahan sembilan individu,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah, Kepayan, pada Rabu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat suspek adalah warga tempatan manakala lima lagi warga asing.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai aktif di Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu dan Papar.

“Sindiket ini mencari warga asing dari Filipina atau Indonesia yang mahu mendapatkan dokumen Malaysia.

“Sekiranya mangsa mempunyai dokumen seperti pasport atau IMM13, bayaran dikenakan lebih rendah,” katanya.

Menurut Jauteh, mangsa akan dibawa ke sebuah hotel di Kota Kinabalu sebelum diberi penerangan seolah-olah suspek adalah pegawai daripada jabatan berkaitan dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, sindiket itu turut menggunakan borang menyerupai dokumen rasmi JPN selain mengeluarkan resit sijil pengenalan sementara dan MyKad palsu.

“Ada MyKad palsu yang berkualiti tinggi dan ada juga kurang berkualiti, namun semakan dalam sistem mendapati sebahagian nombor dokumen itu benar-benar wujud.

“Cuma identiti pemegang asal berbeza dari segi umur atau bangsa kerana dokumen itu dipercayai diperoleh melalui pembelian atau penipuan,” katanya.

Jauteh berkata, polis menganggarkan kira-kira 200 mangsa terlibat dalam kegiatan itu, namun ramai enggan tampil membuat laporan kerana takut ditahan akibat tidak memiliki dokumen sah.

Dalam operasi berkenaan, polis merampas 262 item termasuk 85 dokumen permohonan MyKad, 54 salinan kad pengenalan, 45 salinan dokumen pemohon serta pelbagai sijil kelahiran dan dokumen berkaitan.

Katanya, hasil penelitian Jabatan Peguam Negara mendapati dua suspek utama akan didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, menyamar penjawat awam mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta memiliki dokumen berkaitan pendaftaran di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara.

“Beberapa lagi individu yang ditahan dijadikan saksi pendakwaan kerana mereka dipercayai berperanan mencari pelanggan untuk sindiket ini.

“Selepas selesai perbicaraan, saksi yang tidak mempunyai dokumen sah akan dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Vape dicampur dadah THC: Polis Sabah bongkar MO baharu edar dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular