HomeUtama29 lembu korban diagih kepada masjid, surau dan madrasah di DUN Melalap

29 lembu korban diagih kepada masjid, surau dan madrasah di DUN Melalap

Read Time:1 Minute, 33 Second

TENOM: Sebanyak 29 ekor lembu korban diagihkan kepada masjid, surau dan institusi pendidikan agama dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah itu, 27 ekor diperuntukkan kepada masjid dan surau, manakala dua ekor lagi diserahkan kepada Madrasah Tahfiz Nur Aisyah dan Madrasah Tahfiz Ar-Raudhah.

Beliau berkata, program sumbangan korban itu telah dilaksanakan sejak tahun 2003 dan diharap dapat terus mengimarahkan sambutan Aidiladha selain membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan ibadah korban.

“Hari ini, syukur alhamdulillah, kita telah menyampaikan 29 ekor lembu korban kepada pengerusi-pengerusi masjid dan surau dalam DUN Melalap.

“Kita mengharapkan ia dapat mengimarahkan lagi sambutan Aidiladha tahun ini, di samping membantu mereka yang kurang mampu untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya ketika ditemui pada Program Serahan Binatang Korban 2026 di Surau Al Falah Kampung Bunut, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebahagian daripada daging korban itu turut diagihkan kepada golongan fakir miskin dan asnaf di kawasan berkenaan.

“Sebahagian daging korban ini akan disumbangkan kepada fakir miskin dan golongan asnaf. Mudah-mudahan dengan niat ini kita dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Jamawi berkata, sumbangan berkenaan membolehkan lebih banyak masjid dan surau di kawasan itu bersama-sama meraikan Aidiladha dalam suasana penuh kegembiraan serta semangat kebersamaan.

Terdahulu, beliau turut mengadakan tinjauan pasca banjir di Taman Bahagia serta meninjau keadaan jalan rosak akibat laluan lori berat di Kampung Mandalom Lama dan Kampung Bulun.

Turut hadir dalam tinjauan itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin; Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tenom, Honeylet Ullap; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tenom, Lahaman Shah serta wakil Majlis Daerah Tenom.

Dalam lawatan itu, Jamawi turut mengarahkan kontraktor terlibat supaya segera melaksanakan kerja pembaikan jalan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Keluarga moden berdepan cabaran semakin kompleks – Julita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular