HomeUtamaLaluan sementara siap, trafik dua hala dibuka semula di Bulatan Sukau

Laluan sementara siap, trafik dua hala dibuka semula di Bulatan Sukau

Read Time:1 Minute, 17 Second

KINABATANGAN: Laluan sementara (temporary diversion) di lokasi kejadian jalan runtuh di tapak Projek Pan Borneo WP25, Bulatan Sukau berjaya disiapkan pada jam 3.30 petang tadi sekali gus membolehkan trafik dibuka semula kepada dua laluan secara terkawal.

Jabatan Kerja Raya (JKR) satu dalam kenyataan memaklumkan tindakan segera telah dilaksanakan bersama pihak kontraktor bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran trafik di kawasan terjejas.

Menurut kenyataan itu, pemantauan dan kawalan trafik di lokasi masih diteruskan bagi memastikan laluan yang dibuka berada dalam keadaan selamat untuk digunakan orang ramai.

“Pihak kontraktor juga telah diarahkan untuk memastikan langkah kawalan keselamatan dilaksanakan secara berterusan termasuk penyediaan penghadang, kon, lampu amaran, papan tanda keselamatan serta flagman di lokasi,” menurut kenyataan itu.

Katanya, kerja-kerja pembaikan lanjut di kawasan terlibat kini sedang diselaraskan bersama pihak kontraktor dan perunding bagi memastikan laluan yang rosak dapat dipulihkan dengan selamat.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan selain mematuhi papan tanda dan arahan kawalan trafik di tapak.

Terdahulu, kejadian jalan runtuh dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.30 pagi di kawasan Bulatan Sukau yang merupakan sebahagian tapak Projek Pan Borneo WP25.

Kejadian itu menyebabkan sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan selepas sebahagian permukaan jalan runtuh dipercayai akibat keadaan tanah yang tidak stabil susulan hujan lebat.

Pemandu kenderaan terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital.

Susulan kejadian itu, pasukan tapak bersama pihak JKR dan kontraktor telah melaksanakan kawalan keselamatan serta trafik secara segera termasuk memasang penghadang keselamatan di kawasan terjejas bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya.

RELATED ARTICLES
Utama

Op Tiris: Seleweng diesel di Penampang tumpas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular