HomeIsu tempatanPelajar UMS dalami pendidikan awal kanak-kanak di Korea Selatan

Pelajar UMS dalami pendidikan awal kanak-kanak di Korea Selatan

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Program International Relations Programme (IRP) South Korea 2026 menjadi inisiatif terbaharu siswa Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam meneroka pendekatan pendidikan awal kanak-kanak di peringkat global. 

Program anjuran Child and Family Psychology Club (CFC) di bawah FPKS itu antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tahun akhir khususnya dalam program Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga mengenai sistem pendidikan, amalan perkembangan kanak-kanak serta pendekatan kesejahteraan keluarga di Korea Selatan.

Program yang disertai 22 pelajar termasuk dua pensyarah pengiring FPKS itu juga adalah satu usaha bagi memperluaskan pendedahan antarabangsa serta memperkukuhkan kompetensi global pelajar.

Pensyarah Kanan FPKS merangkap penyelaras program, Dr Janice Hon Kai Yee berkata, program seumpama itu memberi peluang bernilai kepada pelajar untuk memahami pendekatan pendidikan dan perkembangan kanak-kanak dari perspektif antarabangsa.

“Program ini juga membantu memperkukuhkan kemahiran komunikasi, kualiti kepimpinan serta jaringan global pelajar,” katanya. 

Sepanjang program berlangsung, delegasi UMS mengadakan lawatan akademik ke beberapa institusi terkemuka termasuk Yonsei University dan Seoul National University.

Di Yonsei University, peserta melawat Institute for Child and Family Well-Being, sebuah sekolah makmal perintis yang ditubuhkan pada 1975 selain menghadiri sesi perkongsian ilmiah mengenai budaya “Open Education” yang berteraskan kepercayaan terhadap potensi semula jadi kanak-kanak.

Pelajar turut diperkenalkan kepada pelbagai amalan berasaskan bukti termasuk inisiatif perkembangan kendiri kanak-kanak “Play-Yonsei” serta model konsultasi keibubapaan secara individu.

Delegasi turut melawat SNU Childcare Service and Research Center (CESR) Neutinamu dan memperoleh pendedahan mengenai kurikulum khusus pusat berkenaan yang menggabungkan falsafah berpusatkan kanak-kanak oleh John Dewey serta pendekatan Reggio Emilia dalam konteks budaya dan ekologi Korea.

Peserta juga mempelajari “Project Approach” yang menggalakkan pembelajaran kendiri dan perkembangan idea secara bebas selain diperkenalkan kepada pelaksanaan Kurikulum Nuri kebangsaan serta penekanan terhadap aktiviti luar harian sebagai sebahagian daripada perkembangan holistik kanak-kanak.

Selain itu, delegasi didedahkan kepada amalan kesejahteraan kanak-kanak yang komprehensif khususnya aspek pemakanan dan perancangan makanan yang disediakan menggunakan bahan semula jadi di bawah pemantauan pakar pemakanan profesional termasuk penyediaan kimchi buatan sendiri di pusat berkenaan.

Lawatan akademik secara perbandingan itu membolehkan peserta memahami kekuatan institusi yang berbeza antara kedua-dua universiti, khususnya pendekatan multi-sistemik Yonsei University terhadap kesejahteraan keluarga dan terapi berasaskan alam semula jadi berbanding fokus penyelidikan Seoul National University terhadap perkembangan holistik kanak-kanak serta amalan educare yang lebih tersusun.

Pelajar turut diberi pendedahan secara langsung kepada bilik intervensi dan kaunseling yang mengaplikasikan terapi pasir sebagai sebahagian daripada sokongan emosi dan intervensi perkembangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan FPKS, Dr. Nurul Syafira Adi yang turut menyertai delegasi tersebut menyatakan harapan agar program itu mampu memperkukuhkan kerjasama antarabangsa khususnya bagi UMS.

“Harapan juga agar usaha ini mampu menyumbang kepada pembangunan akademik, profesional dan peribadi peserta pada masa hadapan,” ujar beliau. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penyelidik UMS sahkan penemuan tumbuhan misteri di Tawau sebagai spesies baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular