HomeUtamaKPDN lancar OPS KESAN 6.0 mulai 1 Jun, pantau aktiviti pencatutan

KPDN lancar OPS KESAN 6.0 mulai 1 Jun, pantau aktiviti pencatutan

Read Time:2 Minute, 38 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan OPS KESAN 6.0 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2026 bagi membendung aktiviti pencatutan susulan peningkatan kos global.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi itu dilaksanakan susulan krisis bekalan global pada awal tahun ini yang menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia dan dijangka memberi kesan berperingkat kepada rantaian bekalan, kos penghantaran serta harga barangan asas di negara ini.

“Langkah proaktif ini diambil bertujuan untuk memantau dan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi mahupun perniagaan demi memperoleh keuntungan tinggi yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan OPS KESAN 6.0 adalah selaras dengan Akta 723 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Menurutnya, operasi berkenaan turut menggunakan data sedia ada yang sebahagiannya telah dipungut secara berkala oleh KPDN sejak tercetusnya krisis di Asia Barat bagi membantu proses pemantauan dan analisis.

Azman berkata, skop pemeriksaan kali ini akan memfokuskan keseluruhan rantaian bekalan merangkumi peringkat pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong sehingga peruncit.

“Antara sektor utama yang dikenal pasti dan menjadi sasaran operasi termasuk sektor petrokimia melibatkan pembungkusan, plastik serta baja pertanian, sektor pertanian yang merangkumi sayur-sayuran dan cili merah, sektor penternakan melibatkan makanan ayam, ayam standard dan telur ayam, selain sektor pengangkutan yang melibatkan caj penghantaran logistik,” jelasnya.

Tambah beliau, pemeriksaan berkala secara proaktif turut dijalankan terhadap sektor lain berdasarkan aduan semasa yang diterima sepanjang tempoh operasi.

“Sepanjang pelaksanaan OPS KESAN 6.0, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 kepada premis yang diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan dan kos operasi,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi atau memberikan maklum balas terhadap Notis Seksyen 21 berkenaan.

“Notis ini merupakan instrumen perundangan kritikal bagi mengarahkan pengemukaan dokumen perniagaan, maklumat kos serta invois bagi membolehkan analisis terperinci ke atas sebarang aktiviti pencatutan dilakukan.

“Sehubungan itu, Bahagian Penguat Kuasa memberikan amaran keras bahawa kegagalan mematuhi arahan berkenaan atau tindakan mengemukakan maklumat palsu merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen ini tanpa perlu menunggu keputusan akhir analisis margin keuntungan perniagaan tersebut,” katanya.

Menurut Azman, sekiranya hasil analisis awal mendapati wujud peningkatan peratusan keuntungan semasa yang melebihi nilai keuntungan tahun sebelumnya dan siasatan lanjut membuktikan berlaku pencatutan, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 14(1) Akta 723.

“Bagi syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda sehingga RM1 juta,
manakala bagi peniaga individu pula, kesalahan pertama memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“KPDN kekal komited dalam mengesan serta mengekang sebarang aktiviti mencatut bagi memastikan kestabilan kos sara hidup rakyat terus terpelihara.

“Orang ramai perlu menjadi mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat rasmi berhubung kenaikan harga yang mencurigakan melalui saluran aduan yang disediakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar umum bayaran interim khas Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular