PENAMPANG : Kira-kira 500 peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Sukan Tradisi sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, sekali gus mencerminkan minat yang tinggi khususnya dalam kalangan generasi muda terhadap usaha memelihara dan menghayati warisan budaya negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyertaan memberangsangkan itu merupakan petanda positif bahawa masyarakat, terutama golongan belia, masih menghargai adat dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Beliau berkata, sebanyak 10 acara tradisional dipertandingkan sepanjang program yang berlangsung selama dua hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang.
“Dianggarkan kira-kira 500 peserta mengambil bahagian dalam 10 acara tradisional yang dipertandingkan sepanjang program sukan tradisi ini.

“Antara acara yang dianjurkan ialah gusti lengan, membujak, menyumpit dan tarik tali yang mendapat penyertaan ramai peserta,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pertandingan berkenaan, pada Sabtu.
Menurut Nizam, sambutan yang diterima membuktikan usaha memartabatkan sukan tradisional masih relevan dan mampu menarik minat generasi muda untuk mengenali budaya serta identiti masyarakat Sabah.
Katanya, walaupun masyarakat kini hidup dalam era moden dan globalisasi, mereka tidak seharusnya melupakan asal-usul serta warisan budaya yang menjadi asas pembentukan jati diri.
“Ini adalah satu petanda yang baik dan menjadi contoh kepada generasi di luar sana supaya walaupun kita berada di mana-mana di dunia ini, janganlah kita melupai asal-usul serta adat budaya kita.
“Melalui program ini juga kita dapat mengekalkan warisan budaya menerusi aktiviti-aktiviti sukan yang diwarisi sejak dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran sukan tradisi itu juga selari dengan aspirasi kementerian untuk memperkasakan belia Sabah agar terus menghargai dan memahami kepentingan budaya serta tradisi masyarakat setempat.
Menurutnya, budaya dan tradisi masyarakat Sabah merupakan aset berharga yang bukan sahaja membentuk identiti negeri, malah turut menjadi antara tarikan utama pelancongan.
“Budaya dan tradisi masyarakat Sabah merupakan aset penting yang bukan sahaja membentuk identiti negeri, malah menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Penyertaan memberangsangkan yang diterima membuktikan generasi muda masih berminat untuk mengenali serta menghayati adat dan budaya warisan nenek moyang mereka,” katanya.
Nizam berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi memastikan nilai, budaya dan tradisi masyarakat Sabah terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Program berkenaan dianjurkan oleh Lembaga Sukan Negeri Sabah dengan kerjasama Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Petronas dan SMK Bahang sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas; serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Mansur Asun.



