KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan Minggu Suai Mesra (MSM) dan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian bagi Program Asasi Teknologi Maklumat dan Program Asasi Sains Sosial untuk Semester 1, Sesi Akademik 2026/2027.
Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan itu dibuat selaras dengan arahan terkini pengurusan universiti.
Langkah berkenaan turut menyokong saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan institusi pendidikan tinggi melaksanakan PdP secara dalam talian bagi mengurangkan kos perjalanan serta penggunaan bahan api dalam tempoh semasa.
”UMS memahami kebimbangan pelajar dan ibu bapa berhubung perubahan kaedah pelaksanaan ini.
”Justeru, pelajar yang telah membuat tempahan tiket penerbangan atau penginapan lebih awal masih dibenarkan hadir dan mendaftar di kampus mengikut jadual yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu, baru-baru ini.
Selain itu, pelajar yang menghadapi masalah capaian internet di kawasan kediaman boleh memohon kemudahan penginapan di kampus bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.
”Universiti juga sedang meneliti isu berkaitan yuran dan implikasi kewangan yang berbangkit bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah adil serta mengambil kira kebajikan pelajar dan keluarga mereka,” tambah kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS melalui talian 088-320000 sambungan 212700 atau e-mel [email protected].



