SANDAKAN : Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) menolak cadangan untuk bergabung dengan KDMR dan akan terus bergerak sebagai sebuah pertubuhan yang bebas dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Bangsa Sungai di negeri ini.
Presiden SABAS, Datuk Juhari Janan berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh Ahli Majlis Tertinggi SABAS selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk hala tuju serta aspirasi masyarakat Bangsa Sungai.
Beliau berkata, cadangan gabungan berkenaan dikemukakan oleh Naib Presiden KDMR, Datuk James Ratib ketika sambutan Pesta Kaamatan 2026 Peringkat Daerah Paitan yang dirasmikan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 14 Mei lalu.
“Selepas perbincangan dan penelitian yang teliti oleh kepimpinan tertinggi SABAS, kami mengambil keputusan untuk tidak bergabung dengan KDMR.
“Keputusan ini adalah pendirian bersama Ahli Majlis Tertinggi SABAS dan perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Juhari berkata, SABAS kekal komited dalam memperjuangkan hak, kebajikan serta pembangunan masyarakat Bangsa Sungai di Sabah, selain memastikan identiti dan warisan budaya komuniti itu terus dipelihara.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendirian SABAS itu bukan bermaksud pihaknya bersikap anti terhadap mana-mana suku kaum di Sabah.
“SABAS sentiasa memelihara hubungan baik dengan semua persatuan yang ada di Sabah. Kita menghormati kepelbagaian etnik dan terus menyokong usaha memperkukuh perpaduan masyarakat negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Juhari memaklumkan SABAS kini bergabung di bawah Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Sabah (MAGEBS), dan beliau turut memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua (YDP) dalam gabungan tersebut.
Tambah beliau, SABAS akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat Bangsa Sungai serta menyumbang kepada pembangunan komuniti demi kesejahteraan rakyat Sabah.
“Kita akan terus memperjuangkan kepentingan masyarakat Bangsa Sungai dengan pendekatan yang tersusun, selain bekerjasama dengan semua pihak yang berkongsi matlamat membangunkan Sabah,” katanya.


