HomeUtamaOps Tiris 4.0 : Stor simpan diesel tanpa permit diserbu, 285 liter...

Ops Tiris 4.0 : Stor simpan diesel tanpa permit diserbu, 285 liter minyak dirampas

Read Time:1 Minute, 36 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan berjaya membongkar kegiatan penyimpanan diesel tanpa permit dalam serbuan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sebuah stor di kawasan Patau-Patau, di sini pada Isnin.

Serbuan yang dilaksanakan kira-kira jam 4.40 petang itu berjaya menemukan sejumlah cecair dipercayai minyak diesel yang disimpan dalam 19 buah gelen dengan anggaran keseluruhan sebanyak 285 liter.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, hasil pemeriksaan mendapati barang kawalan berjadual tersebut disimpan tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.

“Susulan penemuan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] terhadap pemilik stor berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun.

“Sejumlah 285 liter cecair dipercayai minyak diesel bersama 19 buah gelen telah disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM612.75 dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit yang sah.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Junaidah berkata kerjasama erat antara KPDN Labuan dan JKDM Labuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) akan terus diperkukuhkan bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan serta ketirisan subsidi kerajaan dapat dibanteras.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan, penyalahgunaan subsidi, penyimpanan atau pemindahan barang kawalan tanpa kebenaran.

“Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu pihak penguat kuasa membanteras ketirisan subsidi serta memastikan barang kawalan sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

MAHAKARYA 2026 serlah keupayaan mahasiswa gabung ilmu akademik dan industri kreatif

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular