KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, mengetuai Program Ziarah Amal MUTIARA GRS ke tiga pusat kebajikan dan komuniti di sekitar ibu negeri sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan serta individu berkeperluan khas.

Program anjuran Biro Kebajikan MUTIARA GRS itu melibatkan lawatan ke Pusat Autisme Sabah dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya di Sembulan, Malaysian Children’s Hospice Kota Kinabalu (MCH KK) di Taman Bunga Raya serta Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) di Taman Kingfisher.

Dalam lawatan tersebut, Juliah menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada setiap pusat yang dikunjungi, selain bantuan barangan dan peralatan yang ditaja oleh Yayasan Azam Jaya bagi menyokong usaha kebajikan dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi berkenaan.
Rombongan MUTIARA GRS memulakan lawatan di Pusat Autisme Sabah dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya sebelum meneruskan kunjungan ke MCH KK yang menyediakan penjagaan serta sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan rawatan paliatif.
Program itu kemudian diteruskan ke PSKS yang aktif membantu pesakit kanser dan keluarga mereka menerusi pelbagai program sokongan, termasuk penyediaan kemudahan rumah penginapan.
Menurut Juliah, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MUTIARA GRS dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang, khususnya golongan yang memerlukan sokongan moral dan bantuan kebajikan.
Beliau berkata, selain menyampaikan sumbangan, lawatan itu turut memberi peluang kepada ahli-ahli MUTIARA GRS mendekati komuniti, memahami cabaran yang dihadapi oleh pengurusan pusat kebajikan serta menyemarakkan budaya kesukarelawanan dan nilai kasih sayang dalam masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja bertujuan menghulurkan bantuan, tetapi juga menyampaikan mesej bahawa mereka tidak bersendirian dan sentiasa mendapat perhatian serta sokongan daripada masyarakat,” katanya.
Turut mengiringi lawatan itu ialah Naib Yang Dipertua I merangkap Pengerusi Biro Kebajikan MUTIARA GRS, Datin Seri Linda Ewit; Naib Yang Dipertua III merangkap Pengerusi Biro Agama, Datin Lenny Natasha Tun Musa; Setiausaha Kehormat, Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi; Penolong Setiausaha Kehormat, Datin Sri Asiah Udian; Penolong Bendahari Kehormat, Datin Doren Asiah Azlan @ Philip; Pengerusi Biro Rumah, Datin Noriah Pg Ahmad; Pengerusi Biro Pelita dan Seranta, Datin Ma Siew Tzu @ Rovianie; Pengarah Eksekutif Azam Jaya Group, Datuk Jessica Lo Vun Che serta Ahli MUTIARA GRS, Datin Litah Anita Philip.



