HomeUtamaWarga Jerman didakwa masuk Sabah secara haram, halang pegawai imigresen

Warga Jerman didakwa masuk Sabah secara haram, halang pegawai imigresen

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan memasuki Sabah secara tidak sah dan menghalang pegawai imigresen dalam menjalankan tugasnya.

Kuecuekboga Sueleyman @ Suleyman Kucekboga yang memegang pasport Republik Jerman dihadapkan di hadapan Hakim Hurman Hussain untuk direkodkan pengakuannya.

Bagaimanapun, mahkamah tidak dapat merekodkan pengakuan tertuduh selepas dia berkeras tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Sepanjang prosiding, tertuduh menjawab pertanyaan mahkamah dengan menulis atas kertas dan memaklumkan bahawa dia memahami bahasa Jerman. Walau bagaimanapun, selepas pertuduhan itu dijelaskan dalam bahasa Jerman oleh seorang jurubahasa dari kedutaan, dia tetap mendakwa tidak memahami pertuduhan berkenaan.

Sueleyman yang tidak diwakili peguam memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia akan melantik peguam bela.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memasuki Sabah tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di Jabatan Imigresen di Jalan UMS di sini pada jam 8.50 pagi, 27 April lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10, 000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sueleyman didakwa menghalang secara pasif seorang pegawai imigresen dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai penyiasat dengan enggan diambil rakaman percakapan bagitujuan siasatan di depot Imigresen di sini pada jam 4.30 petang, 5 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 56(g)(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 56(1)(aa) akta yang sama.

Peruntukan itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen berkaitan kepada tertuduh bagi kegunaan pembelaannya.

Sementara itu, mahkamah memerintahkan tertuduh terus ditahan di bawah Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat.

RELATED ARTICLES
Utama

KePKAS perketat pemantauan, penguatkuasaan aktiviti pelancongan di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular