HomeUtamaKPDN Labuan gempur stor tidak berdaftar, 2,100 liter diesel disita

KPDN Labuan gempur stor tidak berdaftar, 2,100 liter diesel disita

Read Time:1 Minute, 33 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menggempur sebuah stor tidak berdaftar yang dipercayai menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran dalam serbuan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Lajau, di sini, baru-baru ini.

Serbuan yang dilaksanakan kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa itu menemukan tiga unit tangki ‘Intermediate Bulk Container’ (IBC) yang mengandungi cecair dipercayai minyak diesel.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan diesel yang disimpan di dalam tangki berkenaan dianggarkan berjumlah 2,100 liter.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati pemilik stor terbabit, seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun, gagal mengemukakan Permit Barang Kawalan Berjadual atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi pemilikan dan penyimpanan minyak diesel berkenaan.

“Kesemua barang kes berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM12,600,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan ketirisan subsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Katanya, KPDN Wilayah Persekutuan Labuan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyimpanan, pemindahan atau penyelewengan barang kawalan tanpa kebenaran.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Junaidah berkata, KPDN Labuan akan terus mempergiatkan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dibendung secara menyeluruh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan barang kawalan dan bersubsidi turut disaran menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan segera diambil.

RELATED ARTICLES
Utama

i-Fit Pulau Gaya bentuk komuniti bersih, sihat dan lestari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular